SUSPEK (kiri) yang ditahan dan barangan yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
SUSPEK (kiri) yang ditahan dan barangan yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Aizat Sharif


Arau: Buruh kontrak berputih mata apabila sekadar melarikan wang RM51 selepas merompak rakannya di rumah di Jejawi, di sini, 7 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, dalam kejadian itu, mangsa, 23, berada dalam bilik sewa bersama seorang lagi rakan serumah sebelum lelaki dikenali mangsa meluru masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik sewanya sambil menghunus pisau.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengacukan pisau itu ke leher mangsa sambil mengugut akan menikamnya sekiranya mangsa dan rakannya itu membuat bising.

"Suspek kemudiannya menumbuk dan menendang muka dan kepala mangsa beberapa kali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek turut menggeledah beg dompet mangsa sebelum melarikan diri bersama wang tunai RM51 milik mangsa.

"Mangsa mengenali suspek sejak bulan lalu ketika berpindah ke bilik sewa itu dan sepanjang tempoh itu, mangsa berkawan baik dengan suspek serta tidak pernah mempunyai masalah lain antara mereka.

"Siasatan awal kita mendapati punca kejadian dipercayai akibat suspek menyesyaki mangsa menggunakan ilmu hitam terhadap dirinya.

"Akibatnya, suspek yang tidak berpuas hati kemudian meluru masuk ke rumah mangsa dan mengacukan sebilah pisau ke leher mangsa sebelum membelasahnya," katanya.

Ahmad Mohsin berkata, suspek ditahan di Arau dan dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.

"Saringan ujian air kencing suspek juga mendapati dirinya positif dadah jenis metahamphetamine.

"Malah semakan rekod jenayah lampau suspek juga mendapati suspek mempunyai 13 rekod kes jenayah lampau termasuk satu kes dikehendaki polis membabitkan kes penyalahgunaan dadah, jenayah kekerasan, memiliki barang curi dan menceroboh di Alor Setar, Alor Janggus, Kuala Kedah dan Kangar.

"Kita turut merampas wang tunai RM51 dan sebilah pisau dari suspek," katanya.

Suspek direman sehingga 12 Disember hadapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 5:59 PM