Che Umar (kanan) dipenjara seumur hidup selepas gagal dalam rayuannya. FOTO Eizairi Shamsudin
Che Umar (kanan) dipenjara seumur hidup selepas gagal dalam rayuannya. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Pengutip hutang dipenjara seumur hidup selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi Kangar bersabit satu kes rompakan bersenjata di Jejawi, Arau pada 2012.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar ketika mengekalkan hukuman itu kepada tertuduh, Che Umar Sirun, 45 berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melangkaui keraguan yang munasabah apabila hukuman penjara seumur hidup itu dijatuhkan kepada tertuduh pada 5 Jun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dua lagi suspek yang masih bebas melakukan rompakan dengan menunjukkan sepucuk pistol dengan cara yang mungkin mendatangkan ketakutan mati atau cedera kepada Chong Kok Koon, 58 di sebuah rumah di Taman Jejawi, Arau pada jam 4 pagi 24 November 2012.Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dibawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana menunjukkan senjata api ketika melakukan sesuatu kesalahan berjadual atau samun yang membawa kepada hukuman penjara seumur hidup dan tidak kurang dari enam kali sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya C Parma manakala tertuduh diwakili oleh Bahador Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 2:59 PM