NOOR Halimah mengelap badan anaknya, Adam Mikhail yang sering menghidap sawan dan demam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NOOR Halimah mengelap badan anaknya, Adam Mikhail yang sering menghidap sawan dan demam. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Jitra: "Anak, Adam Mikhail, 3, kerap diserang sawan hingga menyebabkannya kejang seluruh badan dan perlu dihantar segera ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar."

Begitu kata Noor Halimah Ibrahim, 32, yang buntu apabila mata pencariannya dan suami terjejas kerana tidak dapat berniaga ikan disebabkan perlu bergilir menjaga anak-anak.

Noor Halimah berkata, dia tidak terniat meminta bantuan, malah berusaha mencari rezeki meskipun suami, Mohd Saad Mehat, 35, adalah orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan.

Menurutnya, selain Adam Mikhail, anak ketiga mereka iaitu Muhammad Hakimi, 9, juga menghidap sawan sejak berusia empat bulan.

"Doktor beritahu kedua-dua anak saya menghidap sawan disebabkan faktor keturunan, namun saya reda dengan apa jua yang berlaku.

"Saya juga mempunyai tiga lagi anak iaitu Puteri Dina Sharmila, 15, Alya Maisarah, 12, dan Sumaiyyah, empat bulan.

"Setiap hari apabila keluar berniaga, saya terpaksa membawa Adam Mikhail dan Sumaiyyah bersama, manakala tiga anak lain pergi ke sekolah," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Sungai Korok, di sini, hari ini.

Menurut Noor Halimah, Adam Mikhail tidak boleh berada dalam keadaan panas atau terdedah kepada matahari kerana boleh menyebabkan dia demam dan diserang sawan secara tiba-tiba.

"Suami pula tidak boleh memandu kereta kerana matanya semakin rabun dan saya akan memandu walaupun adakalanya kereta kerap rosak.

"Cuma saya bersyukur kerana dua anak, Alya Maisarah dan Muhammad Hakimi tidak merungut kerana kerap berjalan kaki ke sekolah," katanya.

Menurutnya, hasil berniaga ikan juga tidak menentu kerana kadang-kadang terpaksa membuat lelong jika anaknya tidak sihat atau pelanggan kurang.

Katanya, dia tetap bersyukur kerana apa yang diperoleh adalah rezeki buatnya dan suami serta anak-anak.

"Wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima suami sebanyak RM450 sebulan pula digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan, dan membeli barangan dapur.

"Setiap hari saya hanya mampu menyediakan telur goreng dan ikan kembung yang tidak habis dijual untuk anak-anak makan, tetapi mereka tak merungut kerana tahu keadaan kami yang hidup susah," katanya.

Menurutnya, dia menganggap apa yang dilalui sebagai ujian terhadap dirinya dan keluarga.

Katanya, dia turut berniaga secara dalam talian untuk menjual ikan, tetapi bergantung pada keadaan dan adakalanya hasil jualan tidak habis.

"Kalau anak saya dimasukkan ke wad, memang kami tidak dapat berniaga dan hilanglah mata pencarian, malah terpaksa pula membayar kos rawatan.

"Suami pula perlu menjalani pemeriksaan mata di HSB setiap enam bulan sekali kerana semakin meningkat usia, semakin penglihatan mata berkurangan akibat masalah saraf," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0213429000124927 atas nama Noor Halimah Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 5:34 PM