Arjuna Mikhail Mohd Shahrizal, 4, yang dimasukkan ke wad HSB selama 15 hari akibat kuman di selaput otaknya sudah kembali sihat dan dijangka keluar dari hospital hari ini. FOTO IHSAN Mohd Shahrizal
Arjuna Mikhail Mohd Shahrizal, 4, yang dimasukkan ke wad HSB selama 15 hari akibat kuman di selaput otaknya sudah kembali sihat dan dijangka keluar dari hospital hari ini. FOTO IHSAN Mohd Shahrizal
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan Arjuna Mikhail, 4, yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kuman di selaput otak sejak 15 hari lalu".

"Keadaannya makin beransur sihat dan dijangka keluar dari hospital hari ini," kata Mohd Shahrizal Hashim, 33, bapa kepada Arjuna.

Sebelum ini, Arjuna dikejarkan ke HSB selepas mengalami muntah berterusan serta diserang sawan yang menyebabkan kuman merebak ke saraf otak.

Perkara itu membimbangkan Mohd Shahrizal kerana simptom yang dialami anak tunggalnya itu hampir sama seperti arwah isterinya, Norhazimah Ahmad yang meninggal dunia akibat penyakit tibi usus pada 2019.

Terdahulu, Mohd Shahrizal berkata dia dimaklumkan pihak hospital bahawa hasil ujian air tulang belakang yang diambil sebelum ini disahkan tiada masalah.

Namun menurutnya, Arjuna Mikhail masih tidak dapat berjalan dengan baik dan bergerak secara terhincut-hincut.

"Doktor memaklumkan keadaan anak saya baik dan dijangka akan keluar wad hari ini atau esok bergantung pada keadaannya.

"Dia juga sudah berselera makan dan tidak muntah seperti sebelum ini namun dia perlu dibawa menjalani pemeriksaan di HSB susulan dua kali seminggu," katanya.

Mohd Shahrizal berkata, selain itu dia dimaklumkan yang kuman di selaput otak anaknya juga beransur hilang selepas diberi antibiotik sepanjang dirawat selama 15 hari di hospital

Sementara itu, Mohd Shahrizal turut mengucapkan terima kasih kepada pembaca yang bersimpati dengan nasib yang menimpanya dengan menghulurkan sumbangan kepadanya.

Katanya, wang itu akan digunakan sepenuhnya untuk membayar sewa rumah serta ansuran kereta manakala selebihnya pusingan modal untuk dia meneruskan perniagaan air balangnya selepas anak tunggalnya sihat.

"Saya terharu walaupun tidak mengenali siapa yang menyumbang tetapi ia bermakna kerana sebelum ini buntu memikirkan masalah kewangan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muka depan Harian Metro semalam menyiarkan kisah seorang bapa yang tidak mahu kehilangan kali kedua selepas isterinya meninggal dunia akibat penyakit tibi usus selepas melahirkan anak tunggal mereka, Arjuna Mikhail pada tahun 2019.

Menurut bapa tunggal itu, dia bagaikan hilang arah apabila memikirkan ujian yang perlu dilaluinya apabila terpaksa membesarkan anak sendirian tanpa isteri.

Katanya, sejak anaknya sakit, dia tidak dapat meneruskan perniagaan air balang yang menjadi sumber mata pencariannya untuk menyara kehidupan mereka dua beranak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 5:26 PM