SITI Noramziah bersama Mohammad Khairul Azhar cekal menjaga Mohammad Wafie Muzakki.
SITI Noramziah bersama Mohammad Khairul Azhar cekal menjaga Mohammad Wafie Muzakki.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah perumpamaan bagi menggambarkan kehidupan seorang ibu muda yang bukan sahaja menderita penyakit buah pinggang tahap empat, malah diuji apabila anaknya disahkan menghidap epilepsi atau sawan.

Siti Noramziah Ramli, 24, berkata, walaupun hidup serba kekurangan selain menghidap masalah kesihatan, dia dan suaminya, Mohammad Khairul Azhar Rosly, 21, tabah menjaga anak tunggal mereka, Mohammad Wafie Muzakki, 19 bulan, yang hanya mampu terbaring.

Menurutnya, anaknya yang dilahirkan secara normal dengan berat 1.2 kilogram (kg) disahkan menghidap sawan ketika berusia dua bulan.

Katanya, ketika ini anaknya yang sudah menjangkau usia dua tahun masih tidak mampu bertutur mahupun berjalan seperti kanak-kanak lain seusia dengannya.

"Dalam masa sama, berat badan anak saya hanya enam kilogram dan bergantung kepada susu formula selain makanan lembut disebabkan dia tidak mampu untuk menelan makanan lain yang diberikan.

"Suami saya yang sebelum ini berkhidmat dalam askar wataniah terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sejak setahun lalu selepas saya sakit selain anak kami juga memerlukan perhatian.

"Untuk meneruskan kelangsungan hidup, suami mengambil upah sebagai dropship perniagaan dalam talian dengan pendapatan tidak menentu bergantung kepada hasil jualan," katanya ditemui di Kampung Panji di sini, semalam.

Siti Noramziah mengakui mempunyai anak menghidap penyakit sawan amat menguji ketabahan berikutan anak istimewa itu memerlukan penjagaan khusus selain tidak boleh ditinggalkan bersendirian kerana bimbang diserang sawan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Mohammad Wafie Muzakki bergantung sepenuhnya kepada ubat sawan yang perlu diberikan hampir setiap hari.

"Lebih perit lagi, saya juga perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sejak Mac tahun lalu, malah buah pinggang sebelah kanan tidak lagi berfungsi.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya ini sebahagian ujian yang diberikan oleh Allah SWT untuk menguji hamba-Nya dan dalam masa Mohammad Wafie Muzakki adalah anugerah terindah kepada kami untuk dijaga bagai menatang minyak yang penuh," katanya.

Katanya, setiap bulan dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk membeli keperluan Mohammad Wafie Muzakki termasuk lampin pakai buang, susu, selain kos ulang-alik ke hospital setiap kali menjalani rawatan hemodialisis dan menghadiri temujanji.

"Mujurlah saya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban, selain adik-beradik juga ada yang membantu walaupun bukan dalam kalangan orang yang senang," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Noramziah di talian 01117878765.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 7:30 AM