ENGKU Noor Wahidah bersama suaminya, Kairul Azahar melihat perkembangan anak keenamnya Putri Nur Elyna Soffiya yang terlantar akibat nanah merebak di. FOTO Nazdy Harun
ENGKU Noor Wahidah bersama suaminya, Kairul Azahar melihat perkembangan anak keenamnya Putri Nur Elyna Soffiya yang terlantar akibat nanah merebak di. FOTO Nazdy Harun
Nazdy Harun


Kuala Nerus: Kehidupan Putri Nur Elyna Soffiya Kairul Azahar, 4, yang sebelum ini kanak-kanak periang berubah apabila terlantar di rumah di Kampung Banggol Air Lilih di sini, akibat penyakit bisul yang dialaminya menyebabkan otaknya rosak.

Putri Nur Elyna kini tidak lagi mampu berjalan dan bergantung kepada susu khas yang perlu disalurkan dengan menggunakan mesin sekali gus memerlukan penjagaan setiap masa.

Ibunya, Engku Noor Wahidah Engku Anuar, 31, berkata terdapat bisul di kepala anak keenamnya itu ketika berusia dua tahun dan menyangka ia tidak serius.

Menurutnya, selepas enam bulan kemudian secara tiba-tiba Putri Nur Elyna diserang sawan menyebabkan dia dan suami, Kairul Azahar Mohamad, 32, membawa anaknya itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Saya ingatkan sawan biasa, namun doktor yang menjalankan imbasan di kepala Nur Elyna, memaklumkan terdapat cecair nanah di dalam kepala anak saya itu.

"Berikutan itu, satu pembedahan membuang nanah di lakukan dan selepas pembedahan dijalankan Nur Elyna, kembali normal namun tidak bertahan lama apabila diserang sawan kali ke dua," katanya.

Menurutnya, doktor kemudian memaklumkan Nur Elyna, mengalami kecederaan pada bahagian otak berikutan nanah dari bisul sebelum itu merebak hingga merosakkan otaknya.

Katanya, kini anaknya terpaksa menggunakan lampin pakai buang sejak setahun lalu sekali gus membabitkan perbelanjaan RM1,500 sebulan.

"Suami saya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mendapat sekitar RM1,200 sebulan dengan melakukan pelbagai pekerjaan.

"Saya pula terpaksa berhenti berniaga sate di pasar malam sejak setahun lalu berikutan perlu menjaga Nur Elyna, sepanjang masa," katanya.

Menurutnya, selain Putri Nur Elyna, dua lagi anaknya, Muhammad Adam Darwisy, 12, turut dikategori Orang Kurang Upaya (OKU) autisme, manakala Puteri Nur Eryna Aaffia, 10, OKU masalah pembelajaran.

Katanya, dengan pendapatan suami yang tidak menentu mendorong dia sekeluarga mencatu makanan dan biasanya hanya menyediakan hidangan bubur buat mereka sekeluarga.

Tambahnya, Adam Darwisy, kini menerima wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan manakala rumah sewa yang kami huni ini dibiaya oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebanyak RM6,000 setahun.

"Saya kini buntu memikirkan sumber kewangan kerana kos untuk membeli susu Putri Nur Elyna, amat tinggi selain perbelanjaan anak-anak yang lain ke sekolah dan perbelanjaan dapur," katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Affin Islamic Bank 105280004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) atau cek kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad di Balai Berita.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 2:27 PM