WAN Saiful Wah Jan. FOTO Arkib NSTP
WAN Saiful Wah Jan. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mempunyai pilihan lain melainkan mematuhi Perlembagaan Malaysia dan mengisytiharkan enam kerusi Ahli Parlimen parti itu yang digugurkan keahlian mereka adalah kosong.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, ini kerana gugurnya keahlian seseorang itu adalah urusan dalaman parti berkenaan dan bukan bidang kuasa Speaker.

"Setelah parti ada pegangan dalam hal berkenaan, maka tindakan Speaker mestilah berdasarkan apa yang Perlembagaan Persekutuan kehendaki setelah seseorang itu terhenti keahliannya.

"Ini adalah ujian penting konsep pengasingan kuasa dalam Parlimen kita," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Semalam, MPT Bersatu dilapor sudah memuktamadkan keputusan status tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah.

Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu termasuk enam ahli Parlimen mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Seorang Adun Bersatu pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Wan Saiful dalam pada itu turut mendakwa negara dan dunia akan menghakimi sama ada Johari bertindak untuk memelihara kemulian Dewan Rakyat dan keluruhan Perlembagaan atau secara kepartian.

Menurutnya, langkah diambil oleh Bersatu mengenai wakil rakyatnya yang berpaling tadah juga seharusnya tidak didedahkan kepada umum.

"Saya rasa kita tak perlu dedahkan satu persatu langkah yang akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 5:01 PM