ROHAYATI (berbaju hijau, paling kiri) bergambar bersama arwah ibu mentuanya dan adik iparnya yang maut dalam nahas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, semalam. FOTO ihsan Rohayati
ROHAYATI (berbaju hijau, paling kiri) bergambar bersama arwah ibu mentuanya dan adik iparnya yang maut dalam nahas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, semalam. FOTO ihsan Rohayati
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Wanita dalam tempoh berpantang tidak menyangka keterujaan ibu mentuanya menyambut kelahiran cucu kandung sulung berakhir pilu apabila mentuanya itu meninggal dunia bersama adik ipar tirinya dalam nahas di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Kampung Kerawat, Simpang Pulai, di sini, semalam.

Dalam nahas jam 11.39 pagi itu, Intan Dasillah Hassan, 50, dan anak perempuannya, Intan Nor Khairina Mohd Kharini, 12, meninggal dunia di lokasi apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki mereka bertembung lori membawa muatan tayar.

Nahas itu turut menyebabkan pemandu Toyota Avanza yang juga suami kepada Intan Dasillah dikenali sebagai Mohd Kharini, 65, parah.

Dua lagi penumpang iaitu kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun yang anak kandung Intan Dasillah, cedera.

Rohayati Yaakub, 31, berkata, nahas berlaku ketika lima sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Tumboh di Kota Bharu, Kelantan selepas meluangkan masa seminggu melawatnya serta bayi hasil perkongsian hidup bersama suami yang juga anak sulung Intan Dasillah di kediamannya, di sini.

Menurutnya, keluarga mentuanya itu pada minggu lalu, berkunjung ke ibu kota bagi menghadiri majlis pertunangan keluarga tiri sebelah suaminya.

"Selepas selesai pertunangan abang tiri suami di Kuala Lumpur, keluarga mentua berkunjung ke rumah kami di Ipoh sejak Sabtu lalu (1 Jun). Seminggu juga mentua 'jaga' saya dan bayi sebelum bertolak pulang ke Kelantan, semalam.

"Nampak ibu mentua memang teruja dengan kelahiran cucu kandung sulungnya itu memandangkan bapa mentua tiri (Mohd Kharini) mempunyai anak dan cucu hasil perkahwinannya sebelum ini.

"Ibu mentua turut membelikan pelbagai kelengkapan bayi dan dia cukup teruja dengan kelahiran cucunya ini," katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tragedi itu memberi tamparan besar buatnya dan dan suami, Muhammad Nor Fathullah Al-Akmal Nor Sharizal, 27, yang juga anak kandung sulung Intan Dasillah daripada empat beradik, apatah lagi mereka sepatutnya meraikan ulang tahun pertama perkahwinan pada esok.

"Ibu mentua pernah cakap, dia ada enam cucu tiri daripada pihak suami hasil perkahwinan terdahulu namun dia mengakui cucunya yang saya lahirkan ini mendatangkan lebih keterujaan kerana ia cucu kandung sendiri daripada anak sulungnya," katanya.

Menurutnya, jenazah dua beranak itu akan dikebumikan di Batu Gajah selepas proses bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, hari ini.

Katanya yang difahamkan oleh suaminya, kedua-dua jenazah akan dikebumikan dalam satu liang.

Menurutnya lagi, bapa mentuanya dirawat di HRPB manakala dua anaknya yang cedera, masing-masing dikenali sebagai Zulaikha dan Amrina, seorang daripadanya masih dirawat di hospital manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar wad.

Semalam, Harian Metro melaporkan, dua beranak meninggal dunia apabila Toyota Avanza dinaiki lima sekeluarga bertembung lori di Jalan Simpang Pulai. Pemandu lori terselamat dalam nahas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 2:25 PM