NORHASSILA bersama Kamariah dan suami, Megat Faizal. FOTO Ihsan Norhassila Yacob
NORHASSILA bersama Kamariah dan suami, Megat Faizal. FOTO Ihsan Norhassila Yacob
Redzuan Muharam

Taiping: "Saya sudah anggap emak mentua macam ibu kandung sendiri, dia juga tempat saya menumpang kasih dan ladang pahala."

Demikian gambaran kasih sayang Norhassila Yacob, 44, terhadap ibu mentuanya, Kamariah Salleh, 82, apabila sentiasa berkongsi rezeki selain hubungan mereka juga akrab dan tidak pernah berkecil hati.

Norhassila dari Changkat Jering, di sini, berkata, dia pernah berkahwin yang bertahan selama 22 tahun, namun tiada ibu mentua kerana ibu bekas suami sudah meninggal dunia.

"Jadi, saya bersyukur sangat kerana kini ada emak mentua (apabila berkahwin baharu) dan nak hargainya dengan cara beri kasih sayang juga berkongsi rezeki.

"Kini, saya dan suami yang menjaga emak. Waktu masuk rumah dulu, dapurnya sangat daif dan dengan rezeki hasil menjual pakaian pengantin terpakai, saya gunakan untuk mencantikkannya (dapur).

"Kemudian, saya bantu mencantikkan bilik dan semuanya untuk keselesaan emak tinggal di rumah," katanya.

Menurut Norhassila, dia mengupah individu untuk membantu mengemas rumah dan seorang ustaz sebagai guru mengaji.

"Saya buat semua itu kerana tak nak emak buat kerja rumah dan dapat belajar mengaji.

"Alhamdulillah, rezeki saya cukup dan sebelum keluar rumah, saya akan cium dahi emak mentua dan minta dia doakan saya.

"Saya percaya hidup saya berubah dan murah rezeki berkat doanya kerana ikutkan saya tak ada apa pun. Apa yang ada semuanya rezeki daripada Allah.

"Maka, apa salahnya saya kongsi rezeki itu dengan suami, anak, emak mentua dan adik-beradik," katanya.

GAMBAR sebelum dan selepas transformasi rumah ibu mentua Norhassila. FOTO Ihsan Norhassila Yacob
GAMBAR sebelum dan selepas transformasi rumah ibu mentua Norhassila. FOTO Ihsan Norhassila Yacob

Menurutnya, jika ada rezeki lebih dan masa terluang, dia bersama suami akan membawa ibu mentuanya bercuti.

Katanya, ibu mentuanya suka dan masih kuat berjalan walaupun sudah lanjut usia.

"Kami selalu bercuti bersama, malah pernah pergi ke Hatyai, Thailand dan Pulau Redang, Terengganu.

"Saya sudah buat emak mentua macam kawan, cuma belum berpeluang membawanya ke Tanah Suci dan kumpul duit untuk kami sampai ke sana," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Norhassila tiada niat menunjuk cuma mahu memberi inspirasi kepada mereka yang menonton untuk melayan dan menyayangi ibu mentua.

Menurutnya, dia mendapat banyak komen positif, malah ada juga kongsi pengalaman pahit dengan mentua.

"Mesej saya cuba sampaikan adalah mengajak semua orang sayang emak mentua macam emak kandung sendiri.

"Sebagai isteri, kita tak boleh halang suami beri kebahagiaan kepada ibunya kerana walau apa pun, emak adalah syurganya.

"Jujurnya, saya tak pernah cemburu jika suami lebihkan emaknya kerana saya juga emak mentua, jadi faham malah mahu dilayan baik oleh anak dan menantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 7:10 AM