SHEIKH Amiruddin menunjukkan keadaan rumah bapa mentuanya yang terbakar serta bahunya yang melecur.
SHEIKH Amiruddin menunjukkan keadaan rumah bapa mentuanya yang terbakar serta bahunya yang melecur.

Chukai: “Nasib baik saya terjaga dari tidur selepas terhidu asap dari arah ruang tamu rumah,” kata Sheikh Amiruddin Sheikh Ab Rahman, 37, selepas kejadian rumah bapa mentuanya, Abd Hamid Botok, 61, musnah dalam kebakaran rumah di Seri Bandi, di sini, pagi semalam.

Menurutnya, dia bersama isterinya, Zuhaniza Abd Hamid, 30, dan empat anak berusia setahun hingga sembilan tahun tidur di bilik berhampiran ruang tamu ketika itu.

Selepas terjaga daripada tidur dia keluar dari bilik dan mendapati sofa serta bahagian ruang tamu rumah berkenaan terbakar.

“Tanpa berlengah, saya menjerit mengejutkan bapa mentua dan ibu mentua, Maimunah Ismail, 56, supaya keluar rumah bagi menyelamatkan diri kerana api merebak cepat.

“Pada masa sama, saya mengejutkan isteri dan anak untuk dibawa keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut menyelamatkan isteri dan anaknya itu, dia cedera apabila melecur di bahu kiri selepas terkena percikan api.

Abd Hamid pula berkata, ketika kejadian terdapat sembilan orang termasuk isterinya, dua anak, empat cucu dan seorang menantu tidur di dalam rumahnya itu.

“Sebaik terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan menantu, saya bingkas bangun dan mengejutkan isteri serta anak perempuan kami berusia 24 tahun supaya keluar menyelamatkan diri.

“Selepas mendapati mereka keluar dari rumah dengan selamat, saya memecahkan cermin pintu pemandu kereta Toyota Avanza milik menantu yang parkir di garaj depan rumah.

“Saya berbuat demikian untuk menyelamatkan kenderaan terbabit kerana tidak sempat mengambil kuncinya dan kebakaran berkenaan cepat merebak memusnahkan bahagian struktur kayu dan konkrit rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 4:05 AM