Che Ma sedih ketika menunggu jenazah di Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung. FOTO Muhaizan Yahya
Che Ma sedih ketika menunggu jenazah di Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung. FOTO Muhaizan Yahya
Noor Hidayah Tanzizi


“SEPANJANG mereka ada di sini, saya lihat arwah (Azilina Abdul Aziz, 37,) sangat memanjakan semua anaknya.

“Dia menyuapkan ketiga-ketiga anak lelakinya makan. Rupanya itu petanda dia meninggalkan mereka buat selama-lamanya,” kata Che Ma Mohd Zin, 71.

Che Ma adalah ibu kepada Azilina yang maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Sitiawan-Teluk Intan berhampiran Kampung Kayan di Sitiawan pada 4.30 pagi hari ini.

Nahas itu turut mengorbankan suaminya, Sairulazuwan Nadzim, 37, dan anak bongsu mereka, Muhamad Daris Iffat yang baru berusia tiga bulan selepas Toyota Wish yang dinaiki terbabas ke dalam parit sedalam 2.5 meter sebelum terbalik.

Tiga beranak itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Buloh, Selangor dan baru 15 minit keluar daripada rumah keluarga Sairulazuwan di Lekir.

Menurut Che Ma, dia kali terakhir bertemu dengan anak bongsunya itu semalam sebelum Azilina sekeluarga bergerak ke Batu 9 Lekir untuk pulang ke rumah mentuanya.

"Mereka sekeluarga pulang ke kampung pada Jumaat lalu untuk menghantar tiga anak lelakinya berusia empat hingga 10 tahun ke rumah besan sempena cuti sekolah sebelum dia dan suami pulang ke rumah mereka bersama anak bongsunya berusia tiga bulan.

"Sebelum bertolak ke rumah mentuanya, Azilina seperti biasa bersalam dan meminta maaf dengan saya sebelum balik, cuma saya perasan dia sangat manjakan tiga anaknya dan menyuapkan mereka ketika makan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seri Manjung, hari ini.

Menurutnya, biarpun masih terkejut dan sedih dengan kehilangan anak, menantu dan cucu dalam sekelip mata namun dia menerima takdir itu dengan reda.

"Tiga cucu saya sudah tahu perkara ini.

"Setakat ini belum ada perancangan mengenai tiga cucu dan semua keputusan saya serahkan kepada keluarga besan," katanya.

Jenazah tiga beranak itu dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 9 Lekir di Sitiawan selepas Zuhur hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Terbabas cuba elak kon

Tiga beranak terbunuh

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 12:35 PM