Oleh Mohd Nasif Badruddin

TENGKU Adnan menerima buku daripada Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan, Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Roziah Omar.

Kuala Lumpur: Bukan satu keperluan dalam Perlembagaan UMNO untuk Timbalan Presiden parti berucap dalam penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau membuat pembaharuan kali ini dengan hanya Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak berucap di akhir perhimpunan tanpa perlu Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap seperti tradisi sebelum ini kerana ia sekadar konvensyen dan bukan perlembagaan parti.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, ia selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang menunaikan permintaan Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri supaya ucapan dasar mereka dijadikan ucapan perasmian perhimpunan sayap masing-masing.

“Pada saya yang patut berucap seorang (Presiden) saja, tapi terserahlah pada Presiden dan MT, saya hanya Setiausaha Agung saja.

“Saya lihat kebelakangan ini, dalam bertahun-tahun (perhimpunan) sejak menjadi Setiausaha Agung dan Setiausaha Kerja dulu, ia (ucapan penggulungan) jadi medan seolah-olah mencari siapa terbaik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat, di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata, lebih ramai pemimpin parti dipanggil Jawatankuasa Disiplin UMNO berhubung kenyataan mereka yang bercanggah pucuk pimpinan.

“Bukan tujuh, ramai lagi saya bawa ke (Lembaga) Disiplin, ketua cawangan ini semua, tidak ada disiplin. Bagi saya biar kurang orang, tetapi komited berbanding mereka yang hendak memusnahkan parti,” katanya.

Menurutnya, laporan beberapa Ketua Cawangan UMNO yang mendesak Perdana Menteri meletak jawatan adalah tindakan individu dan bukan mewakili organisasi kerana tiada laporan diterima Ibu Pejabat UMNO setakat ini.

Katanya, jika mengikut perlembagaan parti, sebarang usul mesti melalui mesyuarat yang mendapat dua pertiga majoriti sebelum dibawa ke peringkat bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 6:19 AM