Sebuah kereta terbabas ke dalam perkarangan HPSF selepas pemandunya diserang sawan malam tadi. FOTO Alias Abd Rani
Sebuah kereta terbabas ke dalam perkarangan HPSF selepas pemandunya diserang sawan malam tadi. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: "Ketika kejadian, saya nampak kereta meluru ke lobi. Pada mulanya, saya tidak fikir apa-apa sehingga terdengar bunyi seperti objek jatuh disusuli jeritan.

"Beberapa orang yang berada berdekatan berlari menuju ke arah kereta terbabit," kata Aida Ismail, 27, ketika menceritakan insiden kereta terbabas hingga pekarangan Jabatan Pengimejan dan Diagnostik (x-ray) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam, kereta terbabit juga dilaporkan 'tersangkut' sejurus merempuh tiang yang turut mengakibatkan beberapa kerosakan lain di dalam bangunan itu.

Aida berkata, dia menyangka pemandu kereta itu mahu menurunkan penumpang di lobi hospital dan mujurkan kejadian berlaku bukan pada waktu puncak.

Selepas kejadian itu, katanya, beberapa petugas segera menghulurkan bantuan kepada pemandu dan penumpang dalam kereta terbabit.

"Kakitangan hospital dilihat membersihkan serpihan kaca serta mengalihkan barang dalam bangunan yang dirempuh," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lelaki berusia 30 tahun diserang sawan.

Beliau berkata, sebelum kejadian, pemandu dan penumpang lelaki berusia 28 tahun adalah pekerja syarikat pembekalan alatan perubatan ortopedik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menghantar bekalan ke HPSF.

"Sebaik tiba dalam kawasan HPSF, pemandunya dipercayai diserang sawan menyebabkan hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan jabatan X-ray terbabit.

"Akibat kemalangan pemandu dan penumpang cedera dibawa ke bahagian kecemasan untuk rawatan. Pemandu tidak sedarkan diri dirawat di zon merah, manakala penumpang zon kuning," katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di HPSF.

"Pada masa sama, polis meminta bantuan orang awam yang mempunyai kamera papan pemuka (dashcam) agar tampil bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 11:44 AM