GURU, Ahmad Syahir maut selepas motosikal dirempuh kereta cuba memotong di Kampung Panchor dekat Pagoh. FOTO Alias Abd Rani
GURU, Ahmad Syahir maut selepas motosikal dirempuh kereta cuba memotong di Kampung Panchor dekat Pagoh. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Guru meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih 24 jam di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini hari ini, akibat kemalangan di Kampung Panchor, dekat Pagoh.

Dalam kemalangan 7.30 pagi semalam, mangsa Ahmad Syahir Abdul Rahman, 25, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kundang Ulu, Bukit Gambir, parah dan dimasukkan ke zon merah HPSF.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan kritikal dan disahkan meninggal dunia 11 pagi, hari ini.

Ketua polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Parit Raja, di sini ke sekolahnya di Kundang Ulu.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu penuntut berusia 21 tahun cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

"Bagaimanapun, cubaan pemandu kereta gagal lalu merempuh motosikal ditunggang mangsa. Rempuhan itu menyebabkan motosikal tercampak dan mangsa mengalami pendarahan di kepala," katanya.

Difahamkan, sejurus selepas kemalangan mangsa dikatakan mengucap serta menyebut 'Allah' sebelum tidak sedarkan diri dan dibawa ke HPSF untuk rawatan lanjut.

Raiz Mukhliz berkata, pemandu Toyota Vios tidak cedera dalam kemalangan itu.

"Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 9:16 PM