GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Dua remaja berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan khianat dengan membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang, minggu lalu.

Pesalah juvana berkenaan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad dalam prosiding tertutup.

Prosiding itu dilakukan secara tertutup berikutan kedua-dua lelaki itu adalah pesalah bawah umur.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 8 Ogos depan untuk tarikh jatuh hukum selepas memperoleh laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama melakukan khianat dengan merosakkan kereta jenis Proton Saga milik seorang lelaki berusia 18 tahun dengan kerugian RM500 di tepi jalan hadapan Balai Polis Serdang, di sini, pada jam 6.30 pagi, 2 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur'ain Madihah Zulkifli manakala dua pesalah juvana itu diwakili peguam Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian.

Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kedua-dua suspek itu ditahan di Taman Serdang Jaya, Seri Kembangan pada jam 4 petang, Selasa lalu.

Menurutnya, dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, polis merampas serpihan batu atau pasu yang digunakan dalam tiga kejadian khianat.

Katanya, ia termasuk kes khianat terhadap pagar Balai Polis Serdang yang dipercayai dilakukan oleh dua suspek terbabit pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 3:10 PM