MOHD Alif Shafiq mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas tuduhan membakar pagar rumah seorang peminjam wang tidak berlesen, awal bulan ini. FOTO Suraya Roslan
MOHD Alif Shafiq mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas tuduhan membakar pagar rumah seorang peminjam wang tidak berlesen, awal bulan ini. FOTO Suraya Roslan
Suraya Roslan

Ampang: Bekas pembantu ceti haram atau ahlong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan membakar pagar rumah seorang peminjam awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Alif Shafiq Sarif, 23, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan khianat api dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta milik seorang lelaki di sebuah rumah di Ulu Klang, di sini, pada 3.10 pagi, 5 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 34 kanun sama yang mana boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung seorang anak dan kakak yang sedang sakit.

"Saya baru berhenti kerja, buat masa ini tiada orang nak jamin," katanya.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Wan Mohd Norisham membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 12:54 PM