MUHAMMAD Waqas (dua kiri) dan Muhamad Mudasar (dua kanan) di Mahkamah Petaling Jaya. FOTO Suraya Roslan
MUHAMMAD Waqas (dua kiri) dan Muhamad Mudasar (dua kanan) di Mahkamah Petaling Jaya. FOTO Suraya Roslan
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Penganggur warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol dan merompak seorang wanita di jejantas di Serdang, dua minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Mudasar, 23, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Urdu di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita tempatan, 29, dengan mengacukan pisau menyebabkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.

Selain itu, Muhammad Mudasar didakwa merompak telefon pintar dan wang tunai RM80 milik mangsa menggunakan sebilah pisau sebagai senjata ketika melakukan kesalahan itu dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di jejantas stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, 12.45 tengah malam, 14 Januari lalu.

Muhammad Mudasar turut didakwa bersama-sama rakan senegaranya, Muhammad Waqas, 29, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap wanita berusia 20 tahun dengan merompak dua telefon bimbit menggunakan pisau pada 11.15 malam, 30 Disember tahun lalu di tempat yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Muhamad Mudasar mengaku bersalah, manakala Muhammad Waqas yang menangis selepas pertuduhan dibacakan mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim memohon supaya mahkamah menetapkan satu tarikh singkat bagi menjatuhkan hukuman ke atas Muhamad Mudasar selain tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh.

Syahliza kemudian bersetuju dengan permohonan itu dan menetapkan 26 Februari ini bagi fakta kes dan hukuman ke atas tertuduh.

Bagi sebutan semula kes bagi Muhammad Waqas ditetapkan pada tarikh sama di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor untuk serahan dokumen.

Mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

Sebelum ini media pada 17 Januari lalu melaporkan pihak polis menahan kedua-dua lelaki itu di kawasan kaki lima kondominium Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan sekitar jam 8.30 malam pada 14 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, mangsa yang baharu seminggu bekerja sebagai promoter sambilan di pusat beli-belah di Putrajaya dalam perjalanan pulang ke rumah di Sungai Besi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 3:10 PM