GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Serdang: Dua lelaki yang tidak berpuas hati ditegur anggota polis kerana tidak memakai topi keledar bertindak membaling pasu bunga ke arah Balai Polis Serdang, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 6.30 pagi itu, dua lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk membaling pasu bunga ke arah pagar balai polis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, dua lelaki berkenaan didapati berhenti di hadapan pintu pagar balai polis.

"Ketika anggota bertugas mahu bertanya, salah seorang suspek yang juga pembonceng motosikal membaling pasu ke arah pagar sebelum melarikan diri.

"Motif kejadian disyaki akibat rasa tidak berpuas hati kerana pada jam 2.30 pagi, anggota polis memberi amaran kepada sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Polis Serdang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis sedang mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

"Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 0380742222 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Hakimi di talian 011-17681105," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 9:09 PM