Datuk Mohd Nassuruddin Daud
Datuk Mohd Nassuruddin Daud
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan memaklumkan Kerajaan Persekutuan tidak pernah menyekat pemberian geran tahunan kepada negeri itu.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, setakat beliau diamanahkan menjadi Menteri Besar, (pemberian geran tahunan daripada Kerajaan Persekutuan) tidak pernah disekat.

"Sejak saya diamanahkan menjadi Menteri Besar (geran) tidak pernah disekat," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) pada Persidangan Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meranti turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Nassuruddin berkata, geran tahunan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan adalah dalam bentuk geran perkapita iaitu geran jalan, geran marris dan lain-lain geran.

"Bagi 2019, geran yang diberikan adalah berjumlah RM272.55 juta, RM296.98 juta (2020), RM317.65 juta (2021), RM346.91 juta (2022) dan RM354.02 juta (2023).

"Anggaran geran bagi 2024 belum dapat diberikan kerana tertakluk kepada polisi dan dasar yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.

Mohd Nassuruddin berkata, geran yang diterima itu dimasukkan dalam Kumpulan Wang Disatukan berdasarkan keutamaan perbelanjaan dalam belanjawan negeri yang setiap tahun diaudit oleh Ketua Audit Negara.

"Geran perkapita diberikan berasaskan kepada perkara 109 Perlembagaan Persekutuan yang diberi ikut kepala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 1:03 PM