Mohd Nassuruddin Daud
Mohd Nassuruddin Daud
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan akan melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam negeri pada Disember nanti sebagaimana yang akan dilaksanakan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata penetapan gaji dan elaun kakitangan awam negeri adalah terikat dengan penetapan gaji yang diluluskan Kerajaan Persekutuan.

"Sebarang penetapan gaji dan elaun Kerajaan Pusat akan terpakai kepada semua kerajaan negeri termasuk Kelantan.

"Justeru, kita akan semak kadar gaji dan elaun kakitangan awam negeri selepas menerima pekeliling daripada Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mohd Azizi Abu Naim (BERSATU- Nenggiri).

Pada masa sama, Mohd Nassuruddin berkata, jumlah kenaikan gaji berkenaan akan dilihat selepas pelaksanaan dibuat di peringkat Kerajaan Pusat.

Sementara itu ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan ADUN Limbongan, Nor Asilah Mohamed Zin yang bertanyakan sama ada kenaikan itu turut terpakai kepada pegawai dan kakitangan kontrak, Mohd Nassuruddin berkata penyelarasan sama akan dibuat kepada pegawai dan kakitangan kontrak kerajaan negeri berdasarkan merit dan bebanan kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 10:46 AM