Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud yang baru dilantik semalam memulakan tugas secara rasmi, hari ini.

Terdahulu, beliau meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada 8.30 pagi sebagai simbolik melaporkan diri di pejabatnya di bangunan Mabna di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau juga sempat meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas.

Semalam, Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meranti, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Kelantan di hadapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini.

Beliau adalah Menteri Besar Kelantan ketiga selepas Pas mengambil alih Kelantan pada 1990.

Nassuruddin berkata, beliau akan meneruskan kepimpinan kerajaan negeri sebelum ini bagi Kelantan dengan dasar membangun bersama Islam.

NASSURUDDIN meletakkan ibu jari ke mesin perakam waktu di Pejabat Menteri Besar Negeri Kelantan di Kota Darulnaim sebagai simbolik bagi memulakan tugasnya hari ini di Bangunan Mabna Kompleks Kota Darulnaim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NASSURUDDIN meletakkan ibu jari ke mesin perakam waktu di Pejabat Menteri Besar Negeri Kelantan di Kota Darulnaim sebagai simbolik bagi memulakan tugasnya hari ini di Bangunan Mabna Kompleks Kota Darulnaim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Saya seru kepada semua rakyat untuk meneruskan legasi membangun bersama Islam ini. Kerajaan Kelantan juga akan mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.

"Keutamaan saya menjadi Menteri Besar kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan sebagainya.

"Sementara itu, pembahagian portfolio bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ia akan dibuat dalam terdekat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Meranti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Zahri Omar dengan majoriti 9,154 undi.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri itu mempertahankan kerusi berkenaan, sejak 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 9:41 AM