POLIS terus menjalankan Op Samseng Jalanan kerana masih menerima aduan berhubung aktiviti lumba haram di Lebuh Ismail Sultan. FOTO ihsan Polis Iskandar Puteri
POLIS terus menjalankan Op Samseng Jalanan kerana masih menerima aduan berhubung aktiviti lumba haram di Lebuh Ismail Sultan. FOTO ihsan Polis Iskandar Puteri
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Polis Daerah Iskandar Puteri terus menjalankan Op Samseng Jalanan berikutan masih menerima aduan daripada orang awam berhubung aktiviti samseng jalanan dan lumba haram di Lebuh Ismail Sultan di sini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, operasi itu dijalankan mulai jam 11 malam semalam sehingga 5 pagi tadi.

Beliau berkata, hasil daripada risikan dan operasi mendapati masih terdapat samseng jalanan yang melakukan aktiviti lumba haram di lokasi berkenaan.

"Dalam operasi itu, kita menahan enam samseng jalanan kerana menunggang motosikal secara melulu.

"Antara aksi yang dilakukan ketika menunggang motosikal ialah menundukkan kepala selari dengan meter dan melunjurkan kedua-dua kaki ke belakang seperti gaya Superman serta bersaing sesama sendiri dengan membuat aksi zig-zag.

"Tindakan mereka dilakukan sehingga membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua warga tempatan berusia 16 hingga 19 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Katanya, selain daripada itu, semua motosikal disita dan 13 notis saman dikeluarkan kepada tangkapan.

Pada masa sama, Kumarasan menasihatkan ibu bapa supaya memantau sepenuhnya pergerakan anak-anak terutamanya yang keluar pada waktu malam dengan menggunakan motosikal kerana kecenderungan mereka dengan kegiatan samseng jalanan dan melakukan aktiviti lumba haram adalah lebih tinggi apabila bersama dengan rakan lain.

"Selain daripada menyusahkan masyarakat, kegiatan samseng jalanan ini juga boleh menyebabkan remaja mula berjinak dengan aktiviti jenayah dan dadah.

"Kita juga akan meningkatkan lagi Op Samseng Jalanan bagi membanteras aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 7:14 PM