ANGGOTA polis mengadakan Op Khas Samseng Jalanan di BORR, Butterworth sebelum menahan dua lelaki kerana menunggang dalam keadaan berbahaya. FOTO ihsan polis.
ANGGOTA polis mengadakan Op Khas Samseng Jalanan di BORR, Butterworth sebelum menahan dua lelaki kerana menunggang dalam keadaan berbahaya. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


AKSI seorang pelajar tahfiz dan pekerja kilang yang menunggang motosikal secara berbahaya berakhir apabila mereka dicekup polis di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Butterworth, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kedua-dua mereka ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan bermula 11 malam hingga 7 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan kedua-dua mereka yang berusia 19 dan 20 tahun didapati menunggang dengan melakukan aksi ‘zig-zag’ serta meniarap di atas motosikal.

“Mereka didapati menunggang dengan aksi boleh mengundang bahaya bukan saja kepada diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain.

“Operasi ini dilakukan selepas kami membuat risikan dan menerima maklumat mengatakan ada kegiatan lumba haram di kawasan terbabit terutamanya malam minggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan dan ujian air kencing mendapati mereka bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kami menggesa ibu bapa mengawasi anak supaya tidak terjebak dalam aktiviti tidak sihat seperti ini.

“Selain itu, kami akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi membendung dan mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 November 2018 @ 3:10 PM