Polis membuat pemeriksaan ke atas motosikal dalam operasi di  Lebuhraya Linkedua Johor Bahru. FOTO Ihsan PDRM
Polis membuat pemeriksaan ke atas motosikal dalam operasi di Lebuhraya Linkedua Johor Bahru. FOTO Ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menahan tiga lelaki bersama tiga motosikal yang diubah suai selepas disyaki menunggang dengan membuat aksi ‘superman’ dan berlumba haram di Kilometer 18 Lebuhraya Linkedua, Iskandar Puteri semalam.

Dalam Operasi Cegah Lumba Haram dan Op Lejang itu, turut ditahan 14 motosikal atas pelbagai kesalahan berkaitan lesen dan ubah suai struktur kenderaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, hasil risikan dan maklumat awam serta pemantauan rapi yang dibuat, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun bersama tiga motosikal Yamaha 135LC (X1R).

“Motosikal ini didapati sudah diubah suai dan kita menahan mereka kerana dilihat menunggang secara melulu dan merbahaya iaitu dengan membuat aksi ‘superman’ dan berlumba haram.

“Perbuatan itu dilakukan selepas susur ke Taman Nusa Idaman di sini dan kita menahan reman mereka sehingga hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 57 kenderaan dan 73 individu.

Katanya, 26 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lain.

“Semua kenderaan yang disita dibawa ke Balai Polis Trafik Iskandar Puteri dan ujian saringan air kencing dijalankan ke atas enam daripada pesalah trafik yang ditahan dan keputusannya negatif,” katanya.

Operasi yang bermula pada jam 11 malam kelmarin berakhir jam 4 pagi semalam menumpukan pencegahan lumba haram dan kes kecurian kenderaan.

Operasi yang terdiri daripada tiga pegawai dan 26 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah dan Tugas Am Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri itu tertumpu di kawasan Puteri Harbour dan Lebuhraya Linkedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:04 PM