ADENAN (dua dari kiri) bersama Ong (kanan) memeriksa van pekerja yang membawa penumpang melebihi kapasiti dalam operasi di Butterworth. FOTO DANIAL SAAD
ADENAN (dua dari kiri) bersama Ong (kanan) memeriksa van pekerja yang membawa penumpang melebihi kapasiti dalam operasi di Butterworth. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


TINDAKAN pemandu bas dan van pekerja membawa penumpang melebihi kapasiti ditetapkan mengundang padah apabila mereka dikompaun Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam operasi khas bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Butterworth, hari ini.

Dalam operasi bermula 5 petang itu, sebanyak 87 bas dan van pekerja diperiksa dan 44 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan antaranya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam mencegah penularan wabak Covid-19.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, operasi itu diadakan selaras dengan Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Dalam peraturan itu, pengangkutan awam seperti bas dan van pekerja perlu mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menempatkan bilangan penumpang tidak melebihi kapasiti maksimum bagi menjaga penjarakan sosial.

"Namun, didapati ada bas dan van pekerja tidak mematuhi peraturan itu, sekali gus memaksa JPJ menyerahkannya kepada pihak JKNPP untuk tindakan kompaun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ dekat Seberang Jaya, hari ini.

Sementara itu, Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan JKNPP, Ong Ang Guan berkata, JPJ diberi kuasa melaksanakan peraturan mengikut Akta 342 itu berkuat kuasa dari 13 Mei hingga 9 Jun ini dalam membantu KKM mencegah wabak Covid-19.

"Ketika bermulanya peraturan ini, JPJ hanya menjalankan pemeriksaan dan memberi nasihat kepada pemandu awam, namun kini sudah tiba masanya menguatkuasakan undang-undang.

"Dalam operasi Isnin lalu, satu kompaun dikeluarkan diikuti semalam dua kompaun manakala hari ini tujuh kompaun dikeluarkan kepada pemandu bas dan van pekerja yang tidak patuh SOP.

"Ketika ditanya alasan mereka berbuat demikian, ada yang mahu cepat menghantar pekerja ke tempat kerja dan ada cuba membantu pekerja terkandas, tetapi kebaikan itu tetap tidak boleh diterima kerana ia melanggar SOP," katanya.

Ong berkata, beliau berharap pengurusan kilang dapat menasihati pemandu bas atau van pekerja mereka supaya mematuhi arahan dengan membawa kapasiti penumpang ditetapkan sahaja.

SOP ditetapkan untuk pengangkutan awam seperti bas dan van pekerja, mereka perlu memastikan penjarakan sosial dilakukan dengan membuat penyusunan tempat duduk penumpang.

Bagi bas perlu membawa separuh penumpang daripada kapasiti maksimum ditetapkan manakala van pula hanya boleh membawa enam penumpang sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 11:14 PM