Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Ipoh: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan permulaan RM1 juta kepada Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang berdepan dengan keuzuran dan kesukaran dalam hidup.

Pengumuman itu dibuat beliau ketika majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

"Ada pengumuman kecil yang saya diminta untuk umumkan iaitu tentang Tabung Kasih@HAWANA. Untuk permulaan, saya luluskan RM1 juta," katanya.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sebelum ini, Fahmi dilaporkan berkata pelancaran Tabung Kasih@HAWANA adalah usaha membantu wartawan veteran dan bekas pengamal media yang berdepan dengan keuzuran dan kesukaran dalam hidup.

Beliau berkata, menerusi inisiatif bersama Bernama, program itu bakal menjejaki wartawan yang memerlukan bantuan dan memberikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan sewajarnya.

ANWAR (tengah) hadir pada Majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung di Ipoh. FOTO L.Manimaran
ANWAR (tengah) hadir pada Majlis sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang berlangsung di Ipoh. FOTO L.Manimaran

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya menyifatkan akhbar di negara ini masih mempunyai peranan tinggi kepada masyarakat.

"Selain daripada melihat sedikit perkembangan di media sosial, saya anggap membaca surat khabar itu satu perkara yang wajib.

"Jadi saya teruskan dan saya masih mewakili pandangan bahawa surat khabar itu masih mempunyai peranan yang lebih tinggi dan wajar," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan sebuah kupasan di Amerika Syarikat pada tahun lalu yang menyatakan pandangan media utama akan merosot juga terbukti salah.

"Nampak terbukti salah. Ada beberapa media kalau dipertahankan integriti, kebebasan dan mutunya mampu bertahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 4:59 PM