TEO (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@Hawana kepada Karam Singh Walia (tengah) di kediamannya Taman Sri Andalas, Klang. FOTO Faiz Anuar
TEO (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@Hawana kepada Karam Singh Walia (tengah) di kediamannya Taman Sri Andalas, Klang. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Klang: Bekas wartawan penyiaran Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3), Datuk Karam Singh Walia mengingatkan wartawan muda untuk terus memperjuangkan isu rakyat dan bukan mengejar populariti semata-mata.

Karam, 65 berkata sebagai wartawan mereka perlu menjadi pejuang utama kepada isu-isu dan masalah rakyat dan bukan merungut mengenai perkara remeh-temeh yang tidak memberi faedah kepada diri mereka.

"Yang paling penting sekali buat kerja dengan hasrat, kemampuan dan iltizam yang cukup mendalam.

"Tidak perlu berfikir dan kejar 'glamour' kerana bila kita buat kerja dengan hasrat baik dan ikhlas, rakyat penonton dan mereka yang membaca berita di luar sana kita tahu," katanya kepada pemberita ketika menerima lawatan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching di kediamannya di Taman Sri Andalas, hari ini.

Terdahulu, Teo hadir menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@Hawana kepada Karam.

Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Selain sumbangan wang tunai, Karam juga menerima sumbangan barangan daripada Syarikat Pusat Pakaian Hari-Hari dan AEON Big.

Karam pernah berkhidmat sebagai wartawan di Media Prima selama 20 tahun bermula 1995 sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada 2014 kerana masalah kesihatan.

Wartawan penyiaran yang gemar melantunkan pantun dan kiasan ketika membuat laporan berita kini mengalami keuzuran akibat penyakit hati dan buah pinggang sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Teo berkata semangat dan mutu profesionalisme yang ditonjolkan oleh Karam sebagai wartawan boleh menjadi contoh yang baik kepada pengamal media.

Katanya, beliau berbesar hati untuk menziarahi ikon kewartawanan yang pernah memenangi dua anugerah dalam Anugerah Sri Angkasa 2004 sebelum ini.

Dalam pada itu, Teo turut memaklumkan Karam adalah penerima ke-103 inisiatif yang diperkenalkan ketika Hari Wartawan Nasional (Hawana) tahun lalu dengan pihaknya menyasarkan sekitar 90 pengamal dan bekas pengamal media untuk disantuni menjelang akhir tahun ini.

"Jadi saya harap kalau ada lagi rakan wartawan dan bekas pengamal media berada dalam keadaan ini (keuzuran) dan memerlukan bantuan dari sumbangan Tabung Kasih@Hawana, boleh menghubungi Bernama sebagai urusetia untuk bantuan ini.

Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan sempena sambutan Hawana 2023 bertujuan menyantuni wartawan dan petugas media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, yang keuzuran atau memerlukan bantuan.

Ia inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:36 PM