Nur-ul Afida ketika menghadiri Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) X Apa Khabar Malaysia sempena sambutan Hawana 2024, hari ini. FOTO BERNAMA
Nur-ul Afida ketika menghadiri Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) X Apa Khabar Malaysia sempena sambutan Hawana 2024, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuching: Perbandingan antara wartawan sebenar dengan wartawan segera adalah seumpama membandingkan antara intan dengan kaca, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Nur-ul Afida Kamaludin.

Beliau berkata, masyarakat harus dapat mengenal pasti hasil kerja kelompok mereka yang diistilahkan sebagai wartawan 'segera', yang terdiri dari individu yang tidak mematuhi etika kewartawanan.

"Wartawan yang mempunyai etika pula, itulah 'intan' dalam bidang kewartawanan. Yang 'segera' ini hanya kaca. Dia sekadar tampil sama, tetapi dari segi kualitinya tidak ada dan mungkin, saya percaya mereka ini sekadar mencari mengisi ruang content itu untuk melihat berapa ramai pengikutnya (followers)," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) X Apa Khabar Malaysia (AKM).

Buat julung kali dua program bicara pagi; SPM terbitan RTM dan AKM terbitan Bernama TV bergabung serta dipancarkan secara langsung terus dari sini bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman yang turut menjadi tetamu program SPM X APM berkata sambutan HAWANA 2024 mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" bagi mengingati pentingnya etika dalam bidang kewartawanan.

"Kalau kita tidak ada etika dan kalau kita tidak profesional dalam menjalankan kerja kita, kita bukan wartawan. Kita cuma adalah salah seorang (individu) yang hanya menyampaikan (mesej)," katanya.

Mengingati kembali waktu mula-mula menjadi wartawan, beliau berkata elemen-elemen kesahihan maklumat, maklumat yang betul dan hak untuk menjawab sering ditekankan oleh editornya dalam menjalankan tugas.

"Ada banyak perkara yang perlu dilalui oleh wartawan, tetapi (wartawan) sekarang cabarannya adalah bagaimana untuk merangkumkan semua (elemen) itu dalam satu jangka masa yang pendek," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 1:53 PM