M KUMAR menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Johor. FOTO Omar Ahmad
M KUMAR menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada Majlis Perhimpunan Bulanan di IPK Johor. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Kegiatan ekstremis agama, kumpulan ajaran sesat dan meragukan di negeri ini sentiasa dalam pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menyeru kerjasama masyarakat bagi memberi maklumat dan melaporkan jika terdapat kegiatan atau aktiviti mencurigakan.

Menurutnya, ini berikutan ciri-ciri mereka yang terbabit dalam kegiatan ekstremis tidak dapat dilihat secara kasar.

"Kita tidak dapat menilai ideologi seseorang itu menerusi pandangan mata kasar.

"Sehubungan itu, maklumat awal daripada keluarga terdekat dan jiran tetangga ini adalah sangat penting dalam membuat pencegahan awal, berhubung perubahan sikap, tingkah laku dan aktiviti harian.

"Cawangan Khas PDRM Johor komited dalam memastikan kegiatan ekstremis agama, kumpulan sesat dan meragukan ini dipantau dalam menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam dalam negara umumnya dan Johor khususnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kumar berkata, seramai 8,652 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam tempoh empat bulan bermula Januari hingga bulan lalu.

Menurutnya, tangkapan itu adalah ketiga tertinggi di antara kontinjen dengan rampasan sebanyak 1.72 tan dadah bernilai RM13.37 juta.

Katanya, seramai 68 individu juga ditahan dalam tempoh sama bagi tangkapan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menunjukkan pencapaian komprehensif dalam membendung aktiviti penagihan, penyalahgunaan dan pengedaram dadah.

"Dalam tempoh itu juga, kita berjaya menumpaskan lapan sindiket pengedaran dadah tempatan dengan skala tangkapan dan rampasan besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 11:06 AM