Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seramai 25 pelajar menerima sumbangan berupa komputer riba pada Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Affin Bank Berhad (AFFIN BANK) dan Affin Islamic Bank Berhad (AFFIN ISLAMIC) - Virtue Education di Dewan Seminar Pendeta Za'aba, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di sini, hari ini.

Pelajar berusia 15 hingga 17 tahun itu bukan sahaja menerima komputer riba tetapi turut menerima pakej langganan pelan data internet daripada Digi selama setahun.

Program berkenaan mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan PPD Port Dickson yang membantu menyenaraikan pelajar kurang berkemampuan untuk menerima bantuan.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit berkata, sumbangan berkenaan sudah tentu amat bermakna bagi membantu memudahkan pelajar berkenaan meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian tanpa sebarang kekurangan akibat kekangan kewangan atau kesukaran hidup.

"Kemudahan ini kelak boleh juga digunakan apabila mereka berjaya menjejakkan kaki ke peringkat universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi nanti.

"Jadi, apa yang penting bagi adik penerima semua adalah tumpukan kepada pelajaran dan pastikan berjaya di dalam peperiksaan terutamanya SPM nanti.

"Seperti yang kita semua sedia maklum, sistem pembelajaran dan pengajaran hari ini sudah tidak sama seperti zaman kita dahulu. Penggunaan teknologi dalam pendidikan semakin diperlukan ditambah pula dengan landskap pendidikan yang berubah sejak tercetusnya Covid-19.

"Kita kini menjalani kehidupan dalam norma baharu termasuklah dalam bidang pendidikan," katanya.

Penyampaian sumbangan kepada penerima disempurnakan Husain bersama Ketua Pegawai Eksekutif AFFIN ISLAMIC Nazlee Khalifah, Pegawai Pendidikan Daerah Kamanizam Tindek dan Ketua Bahagian Kelestarian Digi Philip Ling.

Turut hadir Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek, Pengarang Berita Kanan Harian Metro Ahmad Shahrul Nizam Muhammad dan Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Sementara itu, Nazlee Khalifah berkata, pihaknya amat prihatin terhadap keperluan pelajar berkenaan dalam menuntut ilmu.

Menurutnya, pemberian komputer riba bersama pakej pelan data internet daripada Digi selama setahun diharap dapat membantu dan memberi semangat kepada golongan pelajar ini untuk memajukan diri menerusi pelajaran dan keluar dari masalah kemiskinan.

"Kami berharap usaha ini akan terus dikembangkan kepada lebih ramai golongan masyarakat yang memerlukan dan disertai oleh lebih banyak syarikat korporat," katanya.

Kerjasama AFFIN bersama Harian Metro antara cabang tanggungjawab sosial bank berkenaan memenuhi keperluan komuniti setempat dan 'Environmental, Social and Governance (ESG)'.

Ia bertujuan memastikan kelangsungan kehidupan masyarakat dan kelestarian alam sekitar supaya mampu beroperasi dalam jangka masa yang panjang.

Negeri Sembilan lokasi kedua dan terakhir di bawah program TKHM Bersama AFFIN ISLAMIC dalam siri bantuan sumbangan komputer riba dan akses internet percuma kepada pelajar memerlukan.

Program sebelum ini diadakan di Melaka pada 4 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 4:24 PM
Nazlee Khalifah ditemani Husain Jahit, Philip Ling dan Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson, Kamanizam Tindek bergambar bersama para pelajar pada program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Affin Islamic-Virtue Education: Sumbangan Komputer Riba Kepada Pelajar-Pelajar Asnaf di Negeri Sembilan di Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Nazlee Khalifah ditemani Husain Jahit, Philip Ling dan Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson, Kamanizam Tindek bergambar bersama para pelajar pada program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Affin Islamic-Virtue Education: Sumbangan Komputer Riba Kepada Pelajar-Pelajar Asnaf di Negeri Sembilan di Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN