Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. FOTO ASWADI ALIAS
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta. FOTO ASWADI ALIAS
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak diberikan peluang untuk menjelaskan sama ada beliau menandatangani dokumen berhubung kelulusan pinjaman berjumlah AS$975 juta.

Kemudahan pinjaman berkenaan dibuat oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Deustche Bank Singapore untuk Tawaran Permulaan Awam (IPO) 1MDB Energy Group.

Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin, 37, bersetuju dengan cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, bahawa lima dokumen penting itu tidak dirujuk kepada Najib ketika diambil rakaman percakapannya oleh pegawai siasatan.

Saksi itu turut bersetuju, bahawa pegawai siasatan juga tidak memberikan peluang kepada Najib untuk menjelaskan jika beliau betul-betul menandatangani dokumen berkenaan.

Nur Aida bagaimanapun menjelaskan, pihaknya mendapati dokumen terbabit dibawakan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepada Najib.

Menurut saksi ke-49 pendakwaan itu, ia adalah berdasarkan kepada rakaman percakapan yang diambil oleh agensi terbabit daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

Nur Aida yang menjawab soalan balas Wan Azwan, bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa lima dokumen itu tidak ditandatangani okeh Najib.

Wan Azwan: Dokumen ini adalah tonggak kes pendakwaan untuk membuktikan Najib meluluskan AS$975 juta daripada Deustche?

Nur Aida: Betul

Wan Azwan: Setuju atau tidak ini satu dokumen penting yang menunjukkan Najib mempengaruhi Ahli Lembaga Pengarah untuk menandatanganinya?

Nur Aida: Ya

Wan Azwan: Ia tidak pernah dirujuk kepada Najib semasa rakaman percakapan diambil?

Nur Aida: Ya

Wan Azwan: Tiada perakuan dari Najib yang mengesahkan beliau menandatangani dokumen ini?

Nur Aida: Tidak pernah dirujuk (kepada Najib).

Wan Azwan: Tiada pengesahan dari Najib yang beliau mengakui menandatangani dokumen ini?

Nur Aida: Betul

Wan Azwan kemudian menimbulkan persoalan bahawa walaupun dokumen berkenaan boleh menyokong kes pendakwaan, ia tidak pernah dirujuk kepada Najib kerana pegawai penyiasat mengetahui terdapat percanggahan melalui tandatangan bekas Menteri Kewangan itu.

Menurut Wan Azwan, ia tidak pernah ditunjukkan kepada Najib apabila kenyataannya direkodkan kerana SPRM mengetahui tandatangan berkenaan tidak sama.

Bagaimanapun, cadangan peguam bela itu tidak dipersetujui oleh saksi.

Dokumen yang dirujuk peguam adalah berkaitan tuduhan keempat salah guna kuasa yang dihadapi Najib, di mana Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menerima suapan RM44.5 juta dengan meluluskan kemudahan pinjaman berjangka AS$975 juta daripada Deutsche Bank.

Dalam prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa 1MDB membuat pinjaman AS$975 juta daripada Deutsche Bank tetapi ia tidak pernah digunakan untuk menebus semula "Aabar Options" (pembelian pilihan yang dijamin oleh IPIC), ketika proses pembelian penjana tenaga bebas (IPP).

Sementara itu, Nur Aida tidak bersetuju dengan cadangan bahawa pengurusan 1MDB, dengan bantuan beberapa pegawai bank berkomplot untuk menipu Najib dan rakyat Malaysia.

Beliau menolak cadangan bahawa Mohd Hazem dan bekas Ketua Pegawai Kewangan,Azmi Tahirmendalangi perancangan palsu dengan pegawaiBank BSI dan Aabar Investments PJS Ltd untuk menipu Najib bahawa wang pelaburan 1MDB akan dibawa masuk semula ke dalam syarikat pelaburan strategik berkenaan.

Nur Aida memberikan keterangan terhadap Najib yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 3:06 PM