ISMAIL Sabri ketika sidang media sempena lawatan kerja rasmi ke Tokyo, Jepun hari ini. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri ketika sidang media sempena lawatan kerja rasmi ke Tokyo, Jepun hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tokyo: Malaysia dan Jepun bersetuju supaya hubungan dua hala dinaikkan taraf ke peringkat yang lebih komprehensif, dan Dasar Pandang ke Timur (DPT) diteruskan dengan membina kerjasama baharu seperti dalam bidang tenaga, bandar pintar, alam sekitar dan perubahan iklim.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bertemu Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Tokyo pada Jumaat, mencadangkan supaya hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf kepada "Comprehensive Strategic Partnership" (CSP) di samping menyatakan kesediaan meneruskan Dasar Pandang ke Timur, dan ia disambut baik oleh Kishida.

Ismail Sabri berkata beliau dan Kishida bersetuju supaya perbincangan lanjut diadakan bagi menyelaras penaikan taraf hubungan Malaysia-Jepun itu.

"Malaysia dan Jepun akan buat rangka untuk lebih jelas dari segi peningkatan hubungan," katanya dalam sidang media di Tokyo pada Sabtu bagi mengakhiri lawatan kerja rasminya ke Jepun yang disifatkannya sebagai berjaya.

Hubungan Malaysia-Jepun dinaik taraf daripada "Enhanced Partnership" ke Strategic Partnership pada 2015.

Menurut Ismail Sabri, Kishida pernah melawat Malaysia pada 2015 sebagai Menteri Luar ketika itu, dan pada tahun berkenaan, taraf hubungan Malaysia-Jepun ditingkatkan daripada "Enhanced Partnership" kepada "Strategic Partnership."

Dalam pertemuan yang berlangsung di Kantei atau Pejabat Perdana Menteri Jepun pada Jumaat, Ismail Sabri mengadakan perbincangan dua hala dengan Kishida bagi memperkukuh hubungan Malaysia-Jepun yang sekian lama terjalin dan ia adalah pertemuan bersemuka kali pertama antara mereka.

Ismail Sabri dan Kishida pernah berhubung menerusi telefon pada 2 Disember 2021 dan 20 April lalu bagi membincangkan pengukuhan hubungan Malaysia-Jepun, serta membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa, yang Malaysia dan Jepun mempunyai kepentingan bersama.

Ini juga adalah kali pertama Kishida menjadi hos kepada perdana menteri Malaysia sejak memegang jawatan sebagai perdana menteri Jepun pada Oktober tahun lalu.

Tahun 2022 adalah ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun dan juga ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur.

Ismail Sabri berkata beliau sudah menyampaikan penghargaan kepada Kishida di atas sokongan dan bantuan Jepun dalam usaha-usaha pembangunan di Malaysia dalam konteks pelaksanaan DPT.

"Kita telah menyatakan kesediaan Malaysia untuk meneruskan DPT dengan Jepun secara membina program-program kerjasama baharu seperti tenaga, bandar pintar, alam sekitar dan perubahan iklim," katanya.

Ismail Sabri berkata dalam perbincangannya dengan Kishida, mereka berdua bersetuju supaya kerjasama bidang ekonomi perdagangan dan pelaburan terus ditingkatkan.

Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015. Nilai dagangan pada tahun 2021 berjumlah AS$35.9 bilion, meningkat kira-kira 20 peratus berbanding AS$29.6 bilion pada tahun 2020.

Jepun adalah pelabur ketiga terbesar dalam kategori jumlah projek sektor pembuatan.

Nilai pelaburan dari tahun 1980 hingga 2021 adalah AS$27.6 bilion dengan 2,709 projek sektor pembuatan dilaksanakan.

Pada 2021, sebanyak AS$1.81 bilion jumlah pelaburan telah dicatatkan, membabitkan 25 projek sektor pembuatan diluluskan.

Ismail Sabri berkata beliau juga memberi jaminan kepada Kishida bahawa proses penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan masalah teknikal berhubung penubuhan universiti itu sudahselesai.

Hasrat untuk menubuhkan sebuah kampus cawangan insitutsi pengajian tinggi (IPT) Jepun di Malaysia telah diutarakan pada Jun 2018 bagi memberi lebih pendedahan dan akses kepada sistem pendidikan Jepun kepada pelajar Malaysia.

"Kita beri jaminan universiti (itu) dapat ditubuhkan dalam masa terdekat," kata Ismail Sabri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 12:23 PM