Ismail Sabri bersama Abe sempena lawatan mantan Perdana Menteri Jepun itu ke Malaysia hari ini. Foto Ihsan FB Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri bersama Abe sempena lawatan mantan Perdana Menteri Jepun itu ke Malaysia hari ini. Foto Ihsan FB Ismail Sabri Yaakob
Isma Ismail

Kuala Lumpur: Malaysia menghargai lawatan mantan Perdana Menteri Jepun yang juga Utusan Khas Perdana Menteri negara itu, Shinzo Abe hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kehadiran beliau ke negara ini menggambarkan keakraban Malaysia-Jepun, terutamanya sempena meraikan ulang tahun diplomatik ke-65 Malaysia-Jepun pada tahun ini.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, katanya, beliau dan Abe sempat mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan mengenai hubungan perdagangan dua hala, pandemik Covid-19, kerjasama pelaburan serta perkembangan geopolitik antarabangsa serta isu serantau.

"Tahun ini ialah Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur yang menjadikan Malaysia antara satu destinasi pelaburan yang strategik dan menarik bagi syarikat Jepun.

"Dasar ini menyumbang kepada pembangunan sumber manusia, peluang pendidikan dan latihan di universiti-universiti dan syarikat-syarikat Jepun, terutamanya dalam bidang berkemahiran tinggi dan teknologi canggih," katanya.

Menurut beliau, Malaysia juga komited dengan inisiatif penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia yang kini dalam proses untuk dimuktamadkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 11:31 PM