SYED Saleh. FOTO NSTP
SYED Saleh. FOTO NSTP
Husain Jahit


Makkah: Seramai 56 jemaah haji Malaysia bersama dua Petugas Haji yang sepatutnya menaiki penerbangan KT43 dijadualkan semula penerbangan mereka untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia (KLIA) dengan menaiki pesawat komersial Saudi Airlines pada 5.35 petang (waktu Malaysia), semalam.

Penerbangan membawa 58 jemaah Malaysia itu dijangka mendarat di terminal komersial Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah pada 9.25 malam dan akan diterbangkan ke Madinah menggunakan pesawat khas dua jam kemudian.

Mereka dijangka tiba pada 12.35 pagi (waktu tempatan) pada 25 Mei.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pesawat yang sepatutnya dinaiki mereka mengalami kerosakan teknikal manakala pesawat gantian pula hanya boleh memuatkan 298 jemaah berbanding 353 jemaah jika mengikut jadual asal.

"TH sudah pun membuat keputusan selepas berbincang dengan pihak Saudi Airlines di Jeddah dan Malaysia, 58 jemaah akan menaiki pesawat komersial. Sementara menunggu, jemaah telah ditempatkan Hotel Movenpick, Sepang," katanya.

"Laporan yang kami terima pada lewat malam semalam bahawa mereka semuanya dalam keadaan baik dan dilayani dengan baik oleh pihak TH. Tiada sebarang rasa ketidakpuasan hati disuarakan oleh jemaah," katanya lagi.

Menurut Syed Saleh, kesemua 58 jemaah ini akan ditempatkan di hotel asal mereka di Madinah serta akan diurus secara persendirian dan akan berangkat ke Makkah selepas tempoh yang sama iaitu enam hari lima malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 4:51 PM