GAMBAR fail, jemaah haji tiba di Makkah disambut Petugas Haji di hotel penginapan. FOTO Husain Jahit
GAMBAR fail, jemaah haji tiba di Makkah disambut Petugas Haji di hotel penginapan. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mewujudkan terminal khas untuk jemaah haji dan umrah di Kuala Lumpur adalah kesinambungan kepada kemudahan yang sudah pun diperoleh oleh jemaah haji Malaysia sebelum ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, secara umumnya ia adalah usaha untuk menambah baik perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia, termasuk dalam hal yang berkaitan jemaah umrah.

"Kita menyambut baik cadangan ini kerana ini adalah kesinambungan terhadap kemudahan yang sudah dinikmati oleh jemaah haji Malaysia sejak dari 2017 lagi antaranya projek Makkah Route yang mana jemaah haji dapat melalui pemeriksaan imigresen Arab Saudi di Malaysia lagi.

"Setakat ini belum ada lagi mana-mana negara yang mempunyai terminal khas seperti ini dan untuk Makkah Route ini hanya ada tujuh negara sahaja yang menerima kemudahan berkenaan," katanya kepada Petugas Media TH, di Ibu Pejabat TH di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke kelmarin yang memberi cadangan agar satu terminal khas untuk jemaah haji dan umrah di Kuala Lumpur diwujudkan.

Loke dilaporkan berkata langkah itu dapat membantu melancarkan proses penerbangan ke Jeddah atau tempat lain di Arab Saudi dengan pelepasan imigresen negara berkenaan boleh dibuat di Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Tanah Suci dan berharap kemudahan itu juga dapat diperluas kepada jemaah umrah sepanjang tahun.

Syed Saleh berkata, cadangan ini sedang dibincang secara teliti di peringkat kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan dan TH bersama kerajaan Arab Saudi.

Malaysia adalah negara pertama yang terpilih menikmati kemudahan Makkah Route yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi dengan projek rintis bermula pada 2017. Sebelum ini turut ditawarkan kepada Pakistan, Indonesia, Maghribi, Bangladesh, Turki dan Ivory Coast.

Inisiatif ini membolehkan jemaah haji tidak lagi perlu bersusah payah melalui pemeriksaan imigresen Arab Saudi sebaik tiba di negara itu sebaliknya ia dilakukan lebih awal di pintu pelepasan negara masing-masing sebelum menaiki pesawat sekali gus jemaah tidak perlu melalui proses imigresen yang lama sebaik tiba di negara berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 53 penerbangan ke Jeddah akan mula tiba Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah bermula semalam dengan penerbangan pertama membawa KT43 yang membawa seramai 283 jemaah dan selamat tiba pada 9.01 pagi tadi (waktu Arab Saudi).

"Setakat tengah hari semalam (kelmarin), sebanyak 43 daripada 100 penerbangan sewa khastelah berlepas dari tanah air dengan 12,686 jemaah haji tiba di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

"Daripada jumlah itu seramai 5,380 jemaah haji kini berada di Madinah manakala seramai 7,306 jemaah lagi di Makkah dan mereka sedang sibuk melaksanakan ibadah di samping mengikuti pelbagai aktiviti yang dirancang oleh TH sambil menunggu hari wukuf di Arafah nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 5:08 PM