Antara jemaah pertama dibawa turun dari bas disambut oleh Ketua Konsulat Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Shariff dan pegawai-pegawai petugas Tabung Haji. FOTO Husain Jahit
Antara jemaah pertama dibawa turun dari bas disambut oleh Ketua Konsulat Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Shariff dan pegawai-pegawai petugas Tabung Haji. FOTO Husain Jahit
Oleh Husain Jahit


Madinah: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia bagi Musim Haji 1445H/2024M selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz tiba pada jam 4.10 pagi hari ini waktu tempatan.

Seramai 282 orang dari negeri Kedah/Perlis dan Kelantan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 8050 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA pada jam 12.05 tengah malam kelmarin.

Ketibaan mereka disambut petugas Tabung Haji (TH) dan pihak Hotel Emaar Royal diketuai Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Shariff, Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin.

Turut hadir barisan pengurusan dan petugas TH bagi musim 1445H/2024M.

Menurut Roslan, jemaah yang menaiki KT1 itu terdiri daripada mereka yang datang dari Kedah/Perlis dan Kelantan, membabitkan 115 jemaah lelaki dan 167 jemaah wanita. .

"Dijangkakan sebanyak 100 penerbangan untuk membawa keseluruhan jemaah haji pada tahun ini dan saya percaya TH mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia," katanya kepada petugas media TH, selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama itu.

Pada masa sama beliau menasihatkan semua jemaah haji Malaysia supaya sentiasa bergerak secara berkumpulan demi keselamatan mereka selain mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh TH dari semasa ke semasa.

Bas yang membawa kesemua jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, tiba pada jam 6.30 pagi waktu tempatan.

"Patuhi peraturan dan undang-undang tempatan Arab Saudi dan jaga imej serta nama baik Malaysia setiap masa tidak kira di mana juga berada. Semua jemaah haji disarankan supaya terus menjaga kesihatan diri, minum air secukupnya dan amalkan diet yang seimbang sepanjang berada di Tanah Suci ini," katanya.

TH membuat dua penerbangan awal semalam dengan penerbangan kedua mendarat di Madinah pada 7.50 pagi tadi (waktu tempatan) membabitkan 281 jemaah haji. Mereka akan menginap di Hotel Saja al Madinah.

Sepanjang tempoh enam hari lima malam berada di Madinah sebelum bertolak ke Makkah, jemaah haji akan mengikuti program serta aktiviti diatur TH membabitkan ziarah dalam termasuk aktiviti ziarah Masjid Nabawi, makam Rasulullah SAW dan raudah selain ziarah luar melibatkan lawatan tempat bersejarah di sekitar bandar Al-Munawwarah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 3:46 PM