Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat jadual penerbangan bakal jemaah haji tahun ini secara berperingkat mulai minggu depan.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jadual penerbangan itu dikeluarkan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Penerbangan Arab Saudi (GACA).

"Kita rancang dan jangka mengeluarkan jadual penerbangan semua jemaah mulai minggu depan secara berperingkat.

"Penerbangan pertama pada 4 Jun ini dijadual pada jam 1 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menerusi Saudi Airlines dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah.

"Surat berkenaan turut mengandungi butiran mengenai lapor diri di stesen berlepas," katanya pada sidang media operasi haji 2022 di Menara TH di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 48 penerbangan akan membawa 14,306 jemaah menerusi Saudi Airlines dan Malaysia Airline Berhad (MAS).

"Kita minta kerjasama semua waris untuk hanya menurunkan jemaah haji dan tidak mengambil masa lama di tempat lapor diri bagi mengelak kesesakan.

"Selain itu, kita akan menghantar 340 petugas termasuk pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara berperingkat mulai 28 Mei ini bagi membuat persiapan menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah," katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan Arab Saudi bersetuju meneruskan semula projek Makkah Route untuk memudahkan proses pra pelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam di KLIA.

"Semua proses ini akan dibuat di balai berlepas KLIA dan sebaik tiba di Madinah atau Jeddah jemaah tidak perlu lagi melalui proses ini dan boleh menaiki bas ke hotel penginapan masing-masing.

"Agensi di Arab Saudi akan menguruskan dan membawa beg mereka ke hotel dan proses ini tidak mengambil masa lama yang sebelum ini empat hingga 10 jam kepada hanya 30 minit ke sejam sahaja," katanya.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman pada sidang media pengumuman kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini, di Dewan Besar, Menara TH Tun Razak. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman pada sidang media pengumuman kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini, di Dewan Besar, Menara TH Tun Razak. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 12:55 PM