Norizan Ibrahim, 60, menunjukkan tulisan khat hasil tangan anaknya, Ahmad Baihaqi Noor Azman, 18, yang juga penghidap autisme ketika ditemui di kediamanya di belakang Masjid Beijing, di sini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Norizan Ibrahim, 60, menunjukkan tulisan khat hasil tangan anaknya, Ahmad Baihaqi Noor Azman, 18, yang juga penghidap autisme ketika ditemui di kediamanya di belakang Masjid Beijing, di sini. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Seorang remaja lelaki yang diuji dengan autisme memiliki bakat luar biasa dalam seni penulisan khat sekali gus membolehkannya menjana pendapatan sendiri.

Ahmad Baihaqi Noor Azman, 18, mempunyai perwatakan yang sangat pemalu dan sering mengelak untuk berkomunikasi terutama dengan orang luar, tetapi memiliki tangan magis mengukir ayat al-Quran atau tulisan jawi dengan sempurna.

Ibunya, Norizan Ibrahim, 60, berkata anak bongsu daripada lapan adik beradik itu disahkan Autisme sejak dua tahun lalu selepas dirujuk ke hospital kerana keadaannya yang suka menyendiri dan sukar berkomunikasi dilihat semakin 'menjadi-jadi'.

Katanya, dia reda dengan ujian berkenaan serta tetap berbangga kerana Baihaqi mempunyai kepakaran dalam bidang penulisan khat dan akan terus menyokong anak istimewanya itu.

"Baihaqi mula serius menjalankan bisnes penulisan secara dalam talian sejak dua tahun lalu yang mana dia sendiri akan memuat naik hasil tangannya ini ke media sosial Instagram.

"Pada awalnya, dia hanya membuat tulisan khat sekadar suka-suka sebelum mula menghadiahkan penanda buku kepada teman-teman terdekat sebelum mereka memberi idea supaya Baihaqi menjualnya.

"Dia berminat dengan cadangan berkenaan, kemudian mula mempromosikan hasil tulisan khat di media sosial dan Alhamdulillah pelanggannya kini bukan saja dari Kelantan malah negeri luar seperti Melaka dan Selangor," katanya ketika ditemui di kediamannya di belakang Masjid Beijing, di sini.

Norizan berkata, anaknya akan berurusan sendiri dengan pelanggan melalui aplikasi WhatsApp, namun akan meminta bantuannya jika ia membabitkan urusan jual beli secara bersemuka.

Menurutnya, hasil tangan anaknya itu dijual serendah RM4 sehingga RM450 bergantung kepada saiz tempahan sama ada untuk ayat al-Quran atau tulisan jawi.

"Saya juga akan membantunya untuk menghantar tempahan pelanggan melalui pos. Baihaqi bukan saja mengelak untuk berkomunikasi dengan orang luar, malah dengan keluarga juga dan dia hanya selesa untuk bercakap dengan saya sahaja di rumah.

"Biasanya, dia mengambil masa dua hingga ke enam jam untuk menyiapkan tempahan, namun ada yang memerlukan masa selama empat hari bergantung kepada saiz dan ayat al-Quran yang ditempah pelanggan.

"Anak saya dilihat lebih memilih untuk berkarya pada waktu malam ketika keadaan sunyi dan tenang, "katanya.

Norizan berkata, anaknya mula belajar penulisan khat sejak dari sekolah rendah dan memperkemaskan lagi melalui video di Youtube sehingga kini hasil bakatnya itu mampu digunakan untuk dijual.

"Selain itu, Baihaqi juga mampu menghafal beberapa surah sekali gus memudahkannya menulis semula ayat al-Quran termasuk 'baris' dengan betul dan sempurna. Dia amat menitik beratkan kesempurnaan dan pasti akan meneliti semula hasil tanganya satu persatu.

"Dalam masa sama, saya mahu buktikan bahawa anak autisme seperti Baihaqi juga mempunyai keistimewaan tersendiri dan boleh bejaya selain berharap agar masyarakat sentiasa memberi sokongan kepada golongan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2024 @ 12:12 PM