AHMAD Fakhrul  pendorong kuat Ahmad Danish Aqil mengembangkan bakat penulisan  khat.
AHMAD Fakhrul pendorong kuat Ahmad Danish Aqil mengembangkan bakat penulisan khat.
USTAZAH Nashimah Zakaria memantau   Ahmad Danish Aqil.
USTAZAH Nashimah Zakaria memantau Ahmad Danish Aqil.
Oleh Siti Rohana Idris


KANAK-KANAK ini sangat istimewa bukan kerana masalah dihadapinya, bahkan kebolehan dia menghafaz al-Quran dan menterjemahkannya dalam bentuk tulisan khat.

Ahmad Danish Aqil Ahmad Fakhrul Azizi, 11, adalah kanak-kanak autisme yang mempunyai cara tersendiri untuk mendalami kitab suci itu dan seni khat sekali gus.

Bapanya, Ahmad Fakhrul Azizi Fauzi, 37, berkata, kebolehan anak sulung daripada dua beradik itu dikesan tiga tahun lalu apabila dia menunjukkan kecenderungan menghafaz ayat suci.

Katanya, ketika ini murid Sekolah Kebangsaan Parang Puting itu sudah mampu menghafaz surah ar-Rahman, al-Insan, al-Waqiah, al-Mulk dan Yasin selain surah lazim.

“Ketika Along berusia sembilan tahun, saya sediakan telefon bimbit untuknya mendengar surah dan dalam masa sama, cara itu digunakannya untuk menghafaz.

“Bagaimanapun, ketika itu dia hanya minat melukis lukisan 3D seperti bentuk bangunan dan boleh melukis persekitaran sekolah. Cuma, setahun kemudian baru terbit minatnya untuk menulis khat ayat suci yang dihafaz, lengkap dengan tanda bacaan tanpa merujuk kitab.

“Saya sedar, minatnya semakin bercambah dalam penulisan khat sehinggalah hari ini,” katanya.

Ahmad Fakhrul berkata, dia juga akan memperkenalkan Ahmad Danish kepada penggunaan aplikasi tulisan khat melalui komputer secara perlahan-lahan.

“Sekarang, Along memang gemarkan seni khat secara manual (tulisan) dan dia mempunyai banyak koleksi pen warna.

“Malah, dia kerana kerap meminta saya membawanya ke kedai alat tulis semata-mata untuk menambahkan koleksinya itu,” katanya sambil menambah anaknya dikesan mengalami autisme ketika berusia dua tahun.

Melihatkan bakat dimiliki anak istimewanya itu, Ahmad Fakhrul berhasrat menghantarnya ke pusat tahfiz suatu hari nanti.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada kesediaan mereka sekeluarga untuk melepaskan Ahmad Danish.

MINAT  Ahmad Danish Aqil  terhadap  tulisan khat dikesan sejak berusia tiga tahun.
MINAT Ahmad Danish Aqil terhadap tulisan khat dikesan sejak berusia tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 6:01 AM