Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu, Mohd Zulfikri Mohd Sobri melakukan kerja penulisan khat di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu, Mohd Zulfikri Mohd Sobri melakukan kerja penulisan khat di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Shah Alam: Pokok kayu resam yang tumbuh meliar dalam hutan di negara ini adalah kalam utama untuk penulisan kaligrafi ayat al-Quran.

Perkara ini dikongsikan oleh Ketua Jabatan Kaligrafi Yayasan Restu Mohd Zulfikri Mohd Sobri, yang juga penulis al-Quran di yayasan berkenaan sejak 19 tahun lalu.

Mohd Zulfikri berkata, kelebihan kayu ini ialah, ia mampu memberikan 'sentuhan emas' yang menghasilkan tulisan khat al-Quran sangat cantik, halus dan unik.

"Setiap kayu ini dipotong sepanjang 15 sentimeter (cm) untuk dijadikan pensel khat, dengan bahagian hujungnya dibentukkan mata pena khat (mata serong).

"Kayu akan dicelup dengan dakwat hitam akrilik yang diimport dari Jerman untuk menulis setiap perkataan khat di atas kertas muqahar (kertas khas untuk tulisan khat). Bagi peringkat pertama, lakaran akan dibuat bagi menghasilkan al-Quran.

"Kertas muqahar adalah kertas tradisi yang digunakan sejak zaman Uthmaniah," katanya.

Beliau berkata, walaupun kini ramai penulis menggunakan pen khat besi, Yayasan Restu masih mengekalkan kaedah penulisan tradisional iaitu tulisan tangan menggunakan kayu pokok resam kerana hasil penulisannya sangat baik.

"Sebatang pensil khat pokok kayu resam ini boleh bertahan hingga ratusan tahun.

"Satu lagi kelebihan pensil khat pokok kayu resam ini ialah, ia boleh menulis khat di atas batu atau cengkerang siput," katanya.

Berkongsi lanjut, Mohd Zulfikri berkata, setakat ini, dia sudah menulis lima naskah al-Quran mushaf Malaysia.

"Setiap naskah al-Quran mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan sepenuhnya, termasuk membuat zukhuf (hiasan).

"Seorang jurukhat boleh menyiapkan dua hingga tiga muka surat al-Quran sehari. Ini adalah masa standard yang ditetapkan.

"Kerja-kerja penulisan khat ayat al-Quran tidak boleh dilakukan secara terlalu laju atau perlahan kerana ia boleh menjejaskan ketelitian hasilnya," katanya.

Katanya, istimewanya di Malaysia, kerja-kerja penulisan khat ayat al-Quran dilakukan beramai-ramai (lima orang) yang mengetengahkan konsep kerjasama dan berjemaah.

"Berbeza di negara Arab, hanya seorang jurukhat yang menulis senaskah al-Quran.

"Di yayasan ini, ada lima penulis al-Quran tetap dan dibantu penuntut Restu International College yang mengikuti pengajian seni khat dan kaligrafi serta dilatih sebagai pelapis," katanya.

Mohd Zulfikri berkata, meskipun sudah 19 tahun dalam bidang berkenaan, dia masih meneroka ilmu seni khat dan kaligrafi kerana ianya sangat meluas.

"Ia satu ilmu yang sangat menarik dan masyarakat tidak seharusnya melepaskan peluang menguasainya.

"Saya mempunyai hasrat mahu menyebarkan ilmu ini dengan cara mengajar kepada masyarakat terutama generasi muda.

"Kita perlu mempunyai ramai pelapis agar kesenian ini kekal terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 7:10 AM