JEMAAH beratur untuk mengambil pek makanan tengah hari yang disediakan TH melalui penyedia makanan yang dilantik. FOTO NSTP
JEMAAH beratur untuk mengambil pek makanan tengah hari yang disediakan TH melalui penyedia makanan yang dilantik. FOTO NSTP
Husain Jahit


Madinah: Empat menu utama menjadi kegemaran jemaah haji yang disediakan oleh katering di Arab Saudi, ia termasuk masak lemak, masak kicap, kari ikan dan kari daging, serta nasi beriani akan disediakan setiap hari Jumaat.

Untuk menyediakan menu-menu kegemaran jemaah itu, sebanyak 10 tan rempah-ratus pracampur dihantar ke Makkah menggunakan jalan laut bagi kegunaan pasukan penyedia makanan menyediakan makanan untuk jemaah haji Musim Haji 1445H/2024H.

Rempah berkenaan sudah dimasukkan ke dalam pek seberat lima kilogram setiap satu, lalu dimasukkan ke dalam kotak-kotak khas sebelum dihantar ke pelabuhan menggunakan kontena untuk dihantar ke destinasi.

Pengarah Operasi Katering, Lembaga Tabung Haji (TH) Rashidi Razali@Ghazali berkata, pihaknya perlu menyediakan rempah-ratus ini lebih awal kerana perjalanan menggunakan pengangkutan air mengambil masa lebih lama dan mengambil kira faktor-faktor keselamatan.

"Kesemua rempah-ratus yang kami gunakan adalah dalam bentuk serbuk. Kami ada formula khas untuk menyediakan masakan. Sampai di pihak tukang masak, mereka hanya perlu masukkan rempah dan bahan mentah saja kerana garam, gula dan asam pun sudah siap dicampur di dalam pek pracampur ini.

"Hanya empat menu disediakan untuk jemaah mengikut hari dan giliran iaitu masak lemak, masak kicap, kari ikan dan kari daging. Manakala nasi beriani akan disediakan pada setiap Jumaat," katanya lagi kepada Petugas Media Tabung Haji (TH), Ibu Pejabat TH di Makkah, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, satu pek rempah pracampur lima kilogram itu boleh menjadikan masakan untuk hidangan seramai 200 hingga 250 jemaah.

"Kami tidak menggunakan pes kerana dibimbangi berlaku kebocoran dan mudah rosak jika dibandingkan dengan serbuk, malahan serbuk lebih ringan dan mudah dibawa," katanya lagi yang sudah berpengalaman 17 tahun dalam bidang penyediaan makanan sama ada dari segi pengurusan sajian dan keselamatan.

Sementara itu, katanya bahan mentah semuanya dibeli daripada pembekal tempatan merangkumi sayur-sayuran, ikan, daging dan ayam.

Bagaimanapun, menurut Rashidi, pihaknya tidak dapat penuhi selera setiap jemaah yang kita tahu mereka miliki selera berlainan mengikut negeri dari mana mereka datang.

"Oleh sebab itulah kita sediakan juadah mengikut menu yang am yang semua orang tahu seperti masak lemak, kari dan masak kicap," katanya lagi.

Dalam pada itu, TH juga ada membuka kiosk-kiosk atau kafeteria di 11 penempatan haji yang menyediakan pelbagai kuih-muih, jajan, roti dan air panas atau sejuk sekiranya ada jemaah yang ingin menukar selera atau ingin menikmati sarapan pagi atau petang.

Kafeteria ini dibuka seawal selepas subuh jam 4 pagi hingga 11 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 6:04 PM