SYED Saleh menyampaikan ucapan pada majlis Perhimpunan Bersama Petugas Haji di Ibu Pejabat TH. FOTO Husain Jahit
SYED Saleh menyampaikan ucapan pada majlis Perhimpunan Bersama Petugas Haji di Ibu Pejabat TH. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) terus komited dan bersemangat dalam menyantuni duyufurrahman apabila kesemua Petugas Haji diajak untuk terus memberikan 100 peratus tenaga serta usaha dalam tugasan bagi memastikan kelancaran operasi haji bagi Musim Haji 1445H/2024.

Ketua Rombongan Hajinya, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semangat juang tinggi serta sentiasa fokus dalam tugasan yang ditekankan selama ini, dan mahukan jemaah haji dapat menyempurnakan haji mereka, lalu kembali sebagai insan yang soleh lagi Musleh.

"TH seharusnya berperanan bukan sahaja sebagai pengendali haji, bahkan berjaya melahirkan umat terbaik yang berperanan dalam pembangunan masyarakat dan negara. Dengan itu, TH harus terus mengekalkan prestasi untuk menyediakan petugas haji idaman yang memberikan khidmat terbaik dari aspek keilmuan, kesabaran, kecekapan dan sahsiah," katanya pada majlis Perhimpunan Bersama Petugas Haji, di sini, semalam.

Kata-kata semangat terus dilaungkan oleh Syed Saleh di hadapan kira-kira 200 Petugas Haji yang dikatakan sudah mencapai tahap kepuasan tinggi dengan penuh kesabaran dalam menyantuni duyufurrahman.

Menurut Syed Saleh, pencapaian Kepuasan Indeks Pelanggan (CSI) Musim Haji 1444H adalah 86 peratus, ia melebihi sasaran 85 peratus walaupun ketika itu pelbagai cabaran dalam menjayakan operasi haji yang bermula dari tanah air.

Justeru itu, beliau mengajak semua petugas tanamkan azam untuk melaksanakan amanah yang digalas dengan sebaik mungkin.

Tahun ini, TH sudah berjaya mencapai beberapa kejayaan membanggakan mulai di tanah air lagi dengan sistem yang baharu dikuatkuasakan tahun ini oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang mana negara dapat menyelesaikan semua kontrak paling awal.

"Apabila Malaysia menjadi negara pertama dapat menyelesaikan kontrak, maka kita diberi penghormatan untuk menjadi negara pertama memilih tapak di Masyair di dalam sistem e-Haj dan Malaysia juga adalah negara pertama yang menerima visa," katanya lagi.

Oleh itu, menurutnya lagi, kualiti dan imej TH harus dipertingkatkan dan tidak mudah berasa selesa dengan apa yang dicapai, selain hubungan baik dengan pemerintah Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia harus diperkukuh dan dimanfaatkan.

Tahun ini, seramai 31,600 jemaah haji dari Malaysia yang sebahagiannya sudah berada di Tanah Suci bermula 9 Mei hingga 9 Jun 2024, menaiki 100 pesawat cater dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 12 maktab disediakan sebagai penempatan jemaah haji bagi Musim Haji 1445H/2024 dan di setiap maktab, disediakan perkhidmatan yang setara termasuk pengurusan, khidmat pelanggan dan klinik-klinik kesihatan.

Dalam pada itu, hari Wukuf semakin hampir iaitu 13 hari lagi dan operasi Masyair semakin hampir yang menuntut kita melaksanakan perancangan dan gerak kerja dengan lancar dan tersusun bagi menjamin jemaah haji dapat berwukuf serta mengerjakan rukun dan wajib haji, termasuk urusan pergerakan, penempatan, perkhidmatan sajian dan ibadah, pengurusan pesakit serta lain-lain.

Sekali lagi, Syed Salleh menggesa kesemua Petugas haji terus bersemangat tinggi untuk melakukan yang terbaik selain bertindaklah selaras dengan proses kerja dan laksanakan tugas secara proaktif.

"Kuatkan gerak kerja dalam pasukan, lancarkan perkhidmatan, hulurkan bantuan dengan penuh sopan hingga jemaah haji dapat merasai kehadiran tuan-tuan dan puan-puan, menyantuni mereka selaku duyufurrahman.

"Marilah kita sama-sama berdoa supaya pengorbanan, penat lelah dan usaha murni kita dikurniakan keberkatan kerana Allah SWT menyukai hamba-Nya yang bekerja keras namun tetap taat kepada perintah-Nya," katanya sambil mengingatkan petugas agar tidak berpaling dan mensia-siakan peluang untuk menyantuni duyufurrahman serta anggaplah ini peluang terakhir untuk kita buat yang terbaik.

Petugas adalah teman dalam perjalanan haji, memberikan pengalaman terindah dan memori manis yang tidak dapat dilupakan oleh jemaah haji.

Slogan "Hadirku sebagai Dhuyufurrahman dan Kembaliku dengan Kemabruran" akan menjadi ingatan abadi buat mereka selama-lamanya.

Petugas-petugas juga menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan Ini Barisan Kita di pengakhiran majlis sebagai peniup semangat kepada diri sendiri bagi menggalas tugas sebagai Petugas haji yang menyantuni duyufurrahman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2024 @ 8:19 AM