Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiga anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan pada Ops Samba 2.0 didakwa di dua Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima suapan antara RM5,200 hingga RM17,500 sebagai balasan melepaskan lori barangan tanpa sebarang pemeriksaan, bermula tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, Alizan Wahid, 43, Shaharudin Suboh, 54, dan Ismail Idris, 49, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussin.

Shaharudin berdepan 22 pertuduhan rasuah berjumlah RM13,600 manakala Ismail didakwa enam pertuduhan rasuah membabitkan RM5,200 dan Alizan pula empat pertuduhan berjumlah RM17,500.

Mengikut pertuduhan, mereka sebagai pembantu penguasa kastam didakwa menerima suapan secara pemindahan dalam talian ke akaun bank masing-masing daripada seorang lelaki yang juga pemilik syarikat barangan import dan logistik berusia 38 tahun.

Ia sebagai balasan tidak memeriksa lori milik syarikat itu yang membawa keluar barang dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga cawangan Maybank Banking Berhad antara Ogos 2017 hingga Julai 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Suzana membenarkan Shaharudin dan Alizan masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta serta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sekiranya ada, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes Shaharudin pada 2 Julai manakala Alizan pada 10 Julai ini.

Azura yang menetapkan sebutan kes Ismail pada 2 Julai, membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan syarat tambahan yang sama.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala peguam, Ridha Abdah Subri mewakili Alizan serta Ismail dan peguam, Iqhmar Syafiq Mohd Azmi mewakili Shaharudin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 1:29 PM