GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pemandu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang sebelum ini didakwa atas lapan pertuduhan rasuah bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan di jabatan itu sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini berhubung perkara sama.

Muhamad Azwan Shah Abdullah, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan utama dan pilihan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan utama, Muhamad Azwan yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan didakwa memperoleh suapan wang tunai RM500 daripada seorang lelaki melalui akaun bank miliknya sebagai dorongan bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan jabatan itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Muhamad Azwan juga berdepan pertuduhan pilihan menerima wang tunai RM500 daripada individu sama melalui akaun bank miliknya tanpa sebarang balasan yang diketahui tertuduh mempunyai kaitan dengan tugas rasmi sebagai pemandu di JKDM berhubung perkara sama.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Tun Razak di sini pada 6 Feb lepas mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri pada setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

"Pihak pendakwaan juga memohon untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dibicarakan bersama dengan kes rasuah di sana," katanya.

Peguam Nor Asyikin Zakaria pula memohon jaminan dikurangkan atas alasan Muhammad Azwan diikat jamin sebanyak RM8,000 di Mahkamah Shah Alam dan memaklumkan pasport anak guamnya sudah diserahkan kepada mahkamah itu.

Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Beliau turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Shah Alam dan menetapkan 17 Mac untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 10:07 PM