GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang peniaga mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas pertuduhan memberikan suapan berjumlah RM4,000 kepada seorang penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dua tahun lalu.

Tertuduh, Wong Kok Hong, 43, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Harullah.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan hukuman ke atasnya diputuskan pada 17 November depan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memberikan wang tunai RM4,000 kepada seorang ejen kerajaan iaitu Pembantu Penguasa Kastam Gred WK22 dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan.

Suapan itu sebagai dorongan kepada anggota kastam supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh yang melakukan kesalahan memiliki barang larangan kastam iaitu sejumlah minuman keras di bawah Seksyen 135 (l) (d) Akta Kastam 1967.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 26633, Kilometer 8.8, Jalan Kuala Sawah di sini pada jam 2 petang, 23 Oktober 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit bersalah, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohmad Ali menawarkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh sebelum hukuman diputuskan mahkamah pada prosiding bulan depan.

Kok Hong yang tidak diwakili peguam kemudiannya memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia menjaga keluarga selain pendapatannya terjejas ketika ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 beserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Negeri Sembilan sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 4:07 PM