NOR menunjukkan laporan polis dibuat mengenai kecurian beg mengandungi komputer riba dan tablet miliknya di terminal bas Melaka Sentral, Jumaat lalu. FOTO Ihsan pembaca.
NOR menunjukkan laporan polis dibuat mengenai kecurian beg mengandungi komputer riba dan tablet miliknya di terminal bas Melaka Sentral, Jumaat lalu. FOTO Ihsan pembaca.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Penuntut universiti awam (UA) terpaksa berputih mata selepas komputer riba dan peranti tablet miliknya lesap dipercayai dicuri di Melaka Sentral, minggu lalu.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nor berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di dalam tandas terminal terbabit pada Jumaat lalu, kira-kira 7.45 malam.

Katanya, ketika itu dia dalam perjalanan dari Melaka Sentral ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk ke rumah kakaknya di Kajang, Selangor.

"Saya meletakkan beg komputer riba di atas sinki tandas bahagian bas ekspres sebab risau terkena air di dalam tandas.

"Kira-kira tiga minit selepas saya keluar beg saya sudah tiada dan bergegas bertanya kepada lelaki penjaga tandas, namun beliau tidak perasan apa-apa.

"Saya berusaha mencari di dalam terminal, namun hampa sebelum terpaksa menaiki bas ekspres untuk perjalanan jam 8 malam," katanya dihubungi Harian Metro di sini.

Nor yang juga penuntut Tahun Kelima jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik berkata, dia membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Salak Selatan Baru, keesokan harinya.

"Saya amat berharap orang yang terambil beg saya segera pulangkan sebab saya amat memerlukan komputer riba dan tablet itu untuk menyiapkan tugasan dan pembelajaran saya.

"Saya buntu untuk membeli peranti baharu kerana komputer riba itu juga dibeli menggunakan duit bantuan zakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 6:36 PM