Wan Mohd Firdaous menunjukkan jadual penjualan tiket bas di Terminal Melaka Sentral. FOTO NURALIAWATI SABRI
Wan Mohd Firdaous menunjukkan jadual penjualan tiket bas di Terminal Melaka Sentral. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Melaka: Jualan tiket bas ekspres ke Pantai Timur dari terminal Melaka Sentral sempena sambutan perayaan Aidilfitri pada Mei ini terutamanya ke Kelantan sudah habis terjual.

Bagi perjalanan ke Terengganu dan Pahang pula, jualan tiket masih dibuka dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan anak rantau yang mahu pulang ke beraya di kampung halaman.

Penyelia Pentadbiran Melaka Sentral, Wan Mohd Firdaous Wan Ngah berkata, penjualan tiket ke Pantai Timur mula dibuka awal Ramadan dan apabila masuk minggu kedua puasa, tiket ke Kelantan untuk perjalanan pada 27 April hingga 2 Mei sudah habis dijual.

Katanya, kebanyakan tiket terjual dibeli penumpang menerusi sistem dalam talian berbanding hadir ke kaunter di Melaka Sentral.

"Untuk perjalanan ke destinasi Terengganu dan Pahang dari 28 April hingga 2 Mei dianggarkan masih berbaki kira-kira 10 peratus sahaja.

"Manakala destinasi ke Utara seperti Alor Setar, Changlun, Kulim dan Jitra serta Perlis untuk perjalanan 29 dan 30 April juga turut habis terjual namun destinasi lain masih ada dan laju terjual," katanya.

Menurutnya, kesemua tiket yang terjual ini termasuk daripada tiket bas tambahan yang disediakan oleh syarikat bas yang terbabit.

"Untuk operasi bas ekspres pada musim perayaan ini kita jangkakan secara purata sehari terdapat 145 perjalanan berbanding hanya 120 sehari pada hari biasa.

"Jangkaan peningkatan penumpang untuk pulang beraya juga dianggarkan meningkat kepada 3,000 orang berbanding hanya 1,200 bagi hari biasa," katanya.

Mohd Firdaous berkata, untuk musim perayaan ini juga terdapat kenaikan harga tiket bas ekspres dijangkakan kira-kira 10 peratus berbanding harga bukan musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 1:09 PM