RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki mencuri dua beg milik penuntut USIM di sebuah masjid di Nilai. FOTO Ihsan Pembaca
RAKAMAN CCTV menunjukkan seorang lelaki mencuri dua beg milik penuntut USIM di sebuah masjid di Nilai. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS dalam usaha mengesan seorang lelaki berkopiah yang dipercayai mencuri dua beg milik seorang penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sebuah masjid di Bandar Baru Nilai, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, usaha mengesan suspek dibuat selepas polis menerima laporan kejadian daripada lelaki berusia 20 tahun terbabit.

Menurutnya, mangsa tiba di Bandar Baru Nilai dengan menaiki bas ekspres sebelum ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh, kira-kira 5 pagi.

“Mangsa meletakkan dua begnya, termasuk sebuah beg mengandungi komputer riba di tempat mengambil wuduk dan masuk ke dalam tandas.

“Sebaik keluar, mangsa mendapati kedua-dua begnya itu hilang lalu melaporkan kejadian kepada pihak pengurusan masjid.

“Mereka kemudian melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki berkopiah melarikan beg miliknya dengan kerugian dianggarkan RM2,500,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Mohd Nor Marzukee berkata, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Rakaman CCTV berkenaan turut tular di laman sosial Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 3:22 PM