Caption<GELAGAT pemandu sebuah bas ekspres menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang dirakam pegawai penguat kuasa JPJ dalam Ops Tahun Baru Cina 2020. FOTO Ihsan JPJ
Caption<GELAGAT pemandu sebuah bas ekspres menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang dirakam pegawai penguat kuasa JPJ dalam Ops Tahun Baru Cina 2020. FOTO Ihsan JPJ
Zaid Salim


KAKI gatal menjadi alasan pemandu bas ekspres untuk memakai selipar atau berkaki ayam ketika memandu kenderaan terbabit.

Malah, mereka juga mendakwa mudah lenguh dan tidak selesa apabila memakai kasut ketika memandu jarak jauh.

Ia adalah jawapan spontan pemandu bas ekspres yang ‘terperangkap’ dengan penyamaran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Tahun Baru Cina 2020 bermula 18 Januari lalu.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, meskipun pelbagai alasan diberikan, namun tidak memakai kasut ketika memandu adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan kompuan RM300.

Katanya, tidak semua pemandu bas ekspres melakukan kesalahan itu dan pihaknya percaya hanya membabitkan segelintir pemandu sahaja yang menjadikannya sebagai amalan.

“Memang kesalahan (tidak memakai kasut) itu nampak ‘simple’ dan tidak masuk akal, tetapi ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan kompaun (terhadap pemandu bas ekspres).

“Kesalahan lain seperti gagal mematuhi syarat permit dan beroperasi di luar laluan ditetapkan dan menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan ketika memandu,” katanya.

Katanya, sebanyak lima kesalahan dikesan iaitu dua kes memandu sambil menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, beroperasi di luar laluan (dua kes) dan satu kes membabitkan berpakaian tidak kemas iaitu memakai selipar ketika memandu.

“Semua kesalahan itu dikesan ketika penyamaran bermula 18 Januari lalu hingga semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:48 PM