Chegu Bard tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi pendengaran permohonan pendakwa raya untuk menyemak semula perintah Mahkamah Sesyen yang menolak perintah larangan bersuara. FOTO BERNAMA
Chegu Bard tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi pendengaran permohonan pendakwa raya untuk menyemak semula perintah Mahkamah Sesyen yang menolak perintah larangan bersuara. FOTO BERNAMA
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengeluarkan perintah larangan terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes jenayah yang dihadapinya.

Hakim K Muniandy membuat keputusan mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan perintah sama sebelum ini.

Muniandy memutuskan demikian selepas mendapati perintah yang ditolak hakim Mahkamah Sesyen itu adalah tidak wajar.

Dengan itu, hakim memutuskan perintah larangan berkenaan adalah tambahan kepada perintah jaminan yang diberikan kepada Chegu Bard sementara menunggu perbicaraan.

Dalam keputusannya, Muniandy berkata, adalah lebih baik jika hakim bicara mendengar kes mengikut undang-undang dan prosedur tanpa menghiraukan sebarang kenyataan, ulasan dan kritikan, yang mungkin dilemparkan secara keseluruhan terhadap kes itu.

Menurutnya, prinsip undang-undang berkaitan proses perbicaraan perlu dipelihara dalam apa jua keadaan di mana tuduhan mengikut Seksyen 500 dibaca bersama Seksyen 499 Kanun Keseksaan adalah untuk mengelakkan tohmahan yang akan memudaratkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, institusi prosiding menghina mahkamah atau seumpamanya adalah perkara yang perlu diuruskan apabila keperluan itu timbul.

"Justeru, sehingga itu isu yang hendak disampaikan pada perbicaraan dan 'kesucian' perbicaraan itu perlu dipelihara oleh mahkamah," katanya.

Perintah dikeluarkan Muniandy itu adalah bagi pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong yang dihadapi Chegu Bard.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menolak permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang tidak membenarkan perintah larangan terhadap Chegu Bard bagi pertuduhan menghasut.

Azhar dalam keputusannya berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan responden bahawa tiada alasan yang kuat bagi mahkamah mengubah perintah diberikan oleh hakim Mahkamah Sesyen apabila permohonan (perintah larangan) itu dibuat.

Pada 29 April lalu, Chegu Bard, 45, didakwa atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman Facebook miliknya di Taman Bukit Cheras di sini, pada 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Pertuduhan itu mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama, boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau juga didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan fitnah itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 5:20 PM